TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tiada ‘modal’ susulan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mencabar Perikatan Nasional (PN) mendedahkan penyata akaun parti terbabit.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, PN tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan penyata akaun partinya juga boleh diakses oleh orang awam.
“Kita sebagai satu pertubuhan politik berdaftar, kita patuh kepada undang-undang dan setiap parti mesti ada perhimpunan agung dan dalam perhimpunan agung antara lain ialah membentangkan penyata tahunan.
“Ia boleh dilihat oleh sesiapa pun, kerana ia sudah diaudit, tak tahu kalau PKR tak audit, saya audit betul-betul apa sahaja perbelanjaan, satu sen, dua sen, RM100, RM200,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Jawa, di Lenga, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Anwar sedia mendedahkan penyata akaun partinya, dengan syarat Muhyiddin melakukan perkara sama.
Anwar sebelum ini menuduh PN sebagai parti politik terkaya ketika ini berikutan banyak memperoleh projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik COVID-19.
Dakwa Anwar, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.
Susulan itu Muhyiddin dilaporkan mencabar Anwar untuk mendedahkan penyata akaun partinya sebelum Presiden PKR itu menyahut cabarannya jika calon PN Parlimen Pagoh itu sedia melakukan perkara sama.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, setiap penyata akaun partinya sudah disahkan dan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Ditanya mengenai tindakan PH yang sering menyasarkan serangan terhadap PN berbanding Barisan Nasional (BN), beliau melihat Anwar mungkin berasa bimbang dengan sokongan memberangsangkan diterima PN.
“Saya tahu dia (Anwar) sudah cukup bimbang, muka dia pun tak cerah sekarang, sedih sahaja. Bagi saya ini soal persaingan dalam sistem demokrasi, ada orang suka ada orang tak suka, itu biasalah saya serang dia juga, kemudian dia kata saya bapa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sebenarnya, faham ke dia masalah PKP? Cuba Anwar fikir kalau negara ini sewaktu COVID-19 tak ada PKP, apa akan jadi? Dia patut bersyukur dia masih hidup, anak hidup, isteri hidup, semua okey, patut semua bersyukur,” katanya.
Muhyiddin berkata, Anwar kini mungkin sedang tertekan apabila melihat corak sokongan kebelakangan ini menjurus kepada PN.
“Dia ada data, saya pun ada data. Jadi mereka kata kalau nak menang kena serang Muhyiddin.
“Saya pun tak tahu nak ragu ke apa. Saya lihat kenapa apabila Anwar pergi ke Parlimen Bagan Datuk, di mana kawasan yang dia tahu (Presiden UMNO), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanding, dia tak sentuh langsung (Ahmad Zahid).
“Jadi apakah bentuk pandangan sesetengah pihak ada seolah-olah satu persefahaman ataupun kerjasama (antara PH dan BN),” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply