Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

TIDAK dinafikan bahawa gelombang sokongan terhadap PN meningkat mendadak menjelang hari pengundian Sabtu ini apabila pengundi melihat hanya gabungan itu mampu menjadi kerajaan yang stabil.

Dengan imej pemimpin yang bersih dan ‘track record’ pentadbiran walaupun singkat, hanya PN dilihat mempunyai kelebihan untuk mengemudi Malaysia dalam mengharungi cabaran yang lebih besar pada tahun depan.

Seperti yang diketahui umum, sokongan pengundi atas pagar terutamanya Melayu terarah kepada PN atas beberapa sebab utama antaranya jika diberi kepada BN, sudah pasti Zahid Hamidi akan kembali berkuasa.

Keduanya, undi tidak boleh diberi kepada PH kerana dalam gabungan tersebut terdapat parti DAP yang mana semasa 22 bulan memerintah, dapat dilihat banyak kelemahan yang berlaku hingga menonjolkan sisi sebenar parti pimpinan Anwar Ibrahim.

Ketiganya, dengan mengundi PH atau BN, rakyat sebenarnya menolong kedua-dua parti tersebut untuk kembali memerintah kerana terdapat desas-desus yang kuat bahawa kedua-dua gabungan tersebut akan membentuk kerjasama selepas PRU15.

Sebenarnya banyak lagi sebab lain yang menyebabkan undi beralih kepada PN, tetapi apa yang dinyatakan di atas adalah beberapa sebab utama yang menyebabkan PH dan BN akan ditolak pada PRU15 ini.

Menyedari akan gelombang sokongan terhadap PN makin meningkat, maka kita dapat lihat terdapat beberapa gerakan sabotaj terhadap PN akhir-akhir ini dengan tujuan agar pengundi atas pagar tidak menyokong PN.

Pertamanya apabila ucapan pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy mengenai orang bukan Islam menjadi kontroversi hingga menimbulkan keadaan kurang senang banyak pihak.

Pada pandangan penulis, Zul Huzaimy sendiri walaupun menerangkan secara keseluruhan mengenai kedudukan orang Islam dan golongan kafir, ia sebenarnya tidak perlu pun dibuat dalam keadaan banyak manipulasi petikan ucapan boleh dilakukan.

Ucapan-ucapan sebegitu walaupun dipetik di luar konteks, akan menjauhkan orang bukan Islam daripada kepimpinan Islam yang pada asasnya banyak memberi kemudahan kepada masyarakat pelbagai bangsa.

Tambahan pula, kenyataan sebegitu tidak mencerminkan kepimpinan PN yang selama ini membela kebajikan rakyat tidak mengira latar belakang agama dan bangsa.

Keduanya kenyataan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang berkata bahawa Pas yang merupakan gabungan dalam PN akan bergabung dengan BN jika tiada parti yang mendapat majoriti mudah selepas PRU15.

Kenyataan itu sememangnya tidak wajar kerana mewujudkan sentimen bahawa apabila pengundi memilih PN maka sama seperti mengundi BN.

Kenyataan itu juga menyebabkan pengundi yang tidak suka kepada BN akan berfikir beberapa kali sebelum mengundi PN.

BN dan PH juga mengambil kesempatan di atas kenyataan itu dengan mengeluarkan kenyataan untuk memecah-belahkan kesepakatan antara Pas dan Bersatu.

Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob misalnya cuba menangguk di air yang keruh dengan mengatakan Pas diperalat Bersatu sedangkan umum mengetahui kedua-dua parti itu saling melengkapi antara satu sama lain.

Ismail Sabri sebenarnya seperti mengatakan kepada diri sendiri di mana beliau diketahui sebagai PM yang mengikut telunjuk Zahidi Hamidi apabila sepanjang pentadbirannya sebelum ini dilihat banyak akur kepada keputusan parti.

Begitu juga dengan PH yang tidak henti-henti menghentam PN lebih daripada BN hinggakan soal bantuan RM500 bilion kepada rakyat semasa pandemik Covid-19 pun hendak dipolitikkan.

Nasib baik tidak ada yang termakan dengan segala tohmahan itu kerana rakyat faham semasa pandemik sebelum ini banyak bantuan yang diterima dan tidak masuk ke poket sendiri seperti mana yang dilakukan BN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here