SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mengambil beberapa dokumen di pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd, milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, semalam.
Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber sebagai berkata, ia bagi membantu siasatan terhadap dakwaan pemilikan aset yang diumumkan Rafizi, minggu lalu.
“Tiada serbuan sebaliknya siasatan biasa,” katanya hari ini.
Semalam Rafizi dalam ucapannya berkata syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd diserbu SPRM dan turut mendakwa kakitangan ditahan selama tujuh jam.
BH minggu lalu melaporkan SPRM membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan calon Parlimen Pandan.
Ini berikutan, satu laporan dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perisytiharan Rafizi.
Pada 2 November lalu, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta dan mendakwa tidak memerlukan dana awam untuk menjadikan dirinya kaya.
Beliau berkata pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 untuk berbuat demikian.
Leave a Reply