Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau bukan pengkhianat seperti yang digelar pemimpin PakatanHarapan (PH) sebaliknya penyelamat terutama ketika negara berdepan pandemik Coivd-19.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, gelaran tersebut diberikan selepas beliau meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan keputusan berkenaan dilakukan kerana tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang memberikan mudarat kepada orang Melayu.
“Sebab itu saya keluar PH dan dia (pemimpin PH) kata saya pengkhianat, saya bukan pengkhianat tetapi penyelamat negara,” katanya sambil disambut sorakan orang ramai yang hadir dalam Ceramah Kelompok Parlimen Ledang di Tanjung Gading, Tangkak, malam ini.
Muhyiddin menjelaskan, keputusan meninggalkan PH adalah bagi menyelamatkan hak dan kepentingan orang Melayu, bumiputera serta Islam.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Malaysia bernasib baik kerana diperintah PH selama 22 bulan dan tidak dapat membayangkan apa akan berlaku jika gabungan itu memerintah sehingga 60 bulan.
Selain ancaman PH terhadap hak dan kepentingan orang Melayu, Muhyiddin juga tidak setuju dengan percubaan DAP menerusi Lim Guan Eng untuk menghapuskan Akta Hasutan semasa beliau berada dalam Kabinet sebagai Menteri dalam Negeri.
Kata calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh itu, akta tersebut melindungi antaranya raja dan agama supaya tiada pihak akan melakukan sesuka hati seperti mencerca raja atau Islam atau mana-mana agama.
Dalam pada itu, beliau tidak kisah apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelarkan dirinya sebagai
‘Bapa PKP (perintah kawalan pergerakan)’.
“Dia fikir tindakan saya zalim dan tidak bertanggungjawab (kerana adakan PKP), cuba dia tahu keadaan dan situasi (masa itu). Sebagai Perdana Menteri masa itu, saya berdepan situasi cukup genting, banyak negara kalau tiada tindakan pantas lebih ramai akan alami musibah, (mereka yang dijangkiti Covid-19) akan mati di hospital,” katanya.
Namun katanya, tindakan itu terbukti tepat termasuk menguatkuasakan PKP lebih-lebih lagi semasa waktu kemuncak pandemik tersebut kira-kira empat juta rakyat Malaysia dijangkiti wabak berkenaan.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, sekiranya PKP tidak dilaksanakan, lebih ramai rakyat yang akan terkorban.
Sementara itu, beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) amat penting untuk rakyat tentukan nasib mereka dan masa depan negara.
Justeru beliau menyeru semua pihak terutama anak muda untuk beramai-ramai keluar mengundi pada Sabtu ini dan memilih PN untuk menentukan kerajaan yang akan memerintah untuk tempoh lima tahun akan datang.
Muhyiddin juga meminta pengundi membandingkan manifesto PN, PH dan Barisan Nasional (BN) untuk menilai tawaran yang terbaik.
“Undilah PN bukan BN. Orang Cina jangan takut untuk undi PN. Sebelum ini ada orang Cina yang jumpa saya kata takut nak undi PN kerana dalam PN ada Pas, takut kena potong (Pas laksanakan hukum hudud) tetapi saya sudah jelaskan kepada mereka,” ujarnya.
Leave a Reply