SERAMAI 6,051 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 33 saluran di 28 pusat mengundi awal dibuka seluruh Pulau Pinang hari ini.
“Selain itu, seramai 187 pegawai dan anggota telah digerakkan untuk penugasan hari ini bagi menyelaraskan proses pengundian awal hari ini,” katanya kepada pemberita di Dewan Mutiara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, pada hari pengundian awal pos 10 November lalu pula, seramai 179 pegawai kanan, pegawai rendah dan kakitangan awam turut melaksanakan tangungjawab mereka.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, sepanjang 10 hari tempoh kempen PRU15 berlangsung polis Pulau Pinang telah mengeluarkan sebanyak 986 permit untuk aktiviti kempen yang mana 360 acara telah dijalankan setakat ini.
“Mungkin dalam minggu-minggu akhir kempen nanti kita akan menerima lebih banyak permohonan permit,” katanya.
Tambah beliau, setakat hari ini juga pihaknya turut menerima sebanyak 30 laporan polis berkaitan PRU15 dengan 12 kertas siasatan dan satu kertas enkuiri polis (KEP) dibuka.
Sehubungan itu, katanya, polis menasihatkan semua pihak menjaga keselamatan dan bersedia menghadapi kemungkinan banjir memandangkan situasi cuaca yang tidak menentu pada masa ini dalam tempoh kempen PRU15 yang masih berbaki empat hari lagi.
“Polis sentiasa bersedia memberi bantuan segera kepada mana-mana pihak yang memerlukannya terutama di kawasan-kawasan ‘hot spot’,” katanya.
Leave a Reply