SETIUASAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak pernah diberi mandat untuk berunding dengan Barisan Nasional (BN) bagi tujuan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tujuan PN bertanding dalam PRU-15 adalah untuk membentuk
kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan.
“Saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional tidak pernah memberi mandat kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS, untuk berunding dengan Barisan Nasional bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU-15.
“Saya berdoa dengan izin Allah SWT dan sokongan padu rakyat, Perikatan Nasional akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri yang terlibat dalam PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Takiyuddin bahawa PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pada PRU-15.
Malah katanya, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.
“Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.
“Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.
“Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” katanya.
Leave a Reply