PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaannya pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan merangkap Presiden PKR itu gemar membuat pelbagai dakwaan untuk mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.
“Apa bukti (PN dan BN berpakat). ‘You don’t just make allegation without basis’. PN kini bertanding secara nyata melawan BN. Kita menyerang antara parti, jadi apa bukti dakwaan Anwar itu. Anwar suka buat dakwaan sama macam Rafizi (Rafizi Ramli – Timbalan Presiden PKR).
“Tuduhan ini tidak lain untuk pengaruhi pengundi PN kononnya berpakat-pakat dengan BN padahal ia tidak berlaku pun. Jadi saya nak tanya Anwar Ibrahim apa buktinya. Saya cabar dia buktikan dan tolong jawab,” katanya pada sidang media selepas program sembang santai bersama penduduk Taman Sri Stulang, hari ini.
Media hari ini melaporkan, Anwar mendakwa pemimpin BN dan PN sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU-15.
Anwar dilaporkan mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu membuat rancangan berkenaan, selepas masing-masing dikatakan ketinggalan dalam persaingan PRU-15, ketika hari mengundi berbaki empat hari lagi.
Leave a Reply