Aura PN makin terserlah

AURA Perikatan Nasional (PN) semakin terserlah setelah beberapa nama besar UMNO seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib bertanding atas tiket gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Selain itu, Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang berkata, gelombang penerimaan rakyat terhadap PN juga semakin terasa dan mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat sempena pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Ini kerana katanya, prinsip perjuangan Pas dalam PN jelas menjanjikan pemimpin bersih berwibawa dan kerajaan yang bebas rasuah serta mengutamakan rakyat.

“PRU15 ini medan kepada rakyat untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang mampu membawa kemajuan dan keadilan serta kemakmuran,” katanya di Temerloh malam tadi.

Abdul Hadi menasihat pengundi supaya bijak memilih pemimpin dalam PRU-15 supaya yang terpilih kelak bebas rasuah sekali gus dapat berbakti kepada rakyat dan negara.

Beliau dalam pada itu berkata, kedegilan UMNO menolak kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) menjadi punca utama Pas memilih PN sebagai sekutu menghadapi PRU-15 ini.

Beliau berkata, Pas mahu Bersatu dan beberapa parti lain di Sabah dalam MN sekali gus mewujudkan khemah besar bagi menghadapi PRU-15 ini tetapi ditolak oleh UMNO.

“Kehendak Pas supaya Bersatu bersama MN dibuat atas prinsip penyatuan ummah tetapi UMNO menyifatkan parti pengkianat. Kalau nak diambil kira, Pas lebih lama bergaduh dengan UMNO tetapi Pas bersedia bersama demi penyatuan ummah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *