TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran Perikatan Nasional (PN) menerusi manifesto yang juga disebut PN BEST menerima respon yang sangat positif dari rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi PN menegaskan, pelaksanaan PN BEST bukan janji kosong jika gabungan politik itu mendapat mandat mentadbir negara pada 19 November ini.
Menurutnya, banyak lagi tawaran khas PN kepada segenap lapisan rakyat Malaysia termasuk pengeluaran wang caruman KWSP secara bersasar bagi meringankan beban rakyat.
“Ini bukan janji kosong. Saya telah membuktikannya ketika saya memimpin negara di mana begitu banyak manfaat yang diterima oleh rakyat.
“Saya juga menerima respon yang sangat positif berkenaan tawaran PNBEST ini. Terima kasih saya ucapkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Semalam, gabungan parti di bawah kepimpinan Muhyiddin itu telah melancarkan 234 tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Semua tawaran PN termasuk banyak insentif lain untuk mensejahterakan rakyat, boleh diakses di pautan http://www.pnbest.my.
Mengulas mengenai manifesto PN itu, Muhyiddin mengakui beliau berasa sebak apabila mendengar keluhan dan impian rakyat Malaysia semasa sesi “Townhall Pelancaran Tawaran PN BEST” semalam.
“Sebak juga rasanya apabila mendengar keluhan dan impian rakyat Malaysia dalam sesi “Townhall Pelancaran Tawaran PN BEST”.
“InsyaAllah saya cuba sedaya mampu saya untuk menyelamatkan negara yang kita sayangi ini,” katanya.
Menurut Muhyiddin, pada sesi pelancaran itu, beliau menerangkan banyak tawaran yang semestinya berdasarkan keperluan rakyat dan negara.
Katanya lagi, PN BEST menekankan beberapa perkara antaranya:
- Mewujudkan 1 Juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi digital dan masa depan dalam tempoh 5 tahun
- DanaNita untuk wanita bangkit berniaga dengan pinjaman tanpa faedah sehingga RM20,000
- Bantuan Awal Pengajian IPT sebanyak RM1,000 kepada semua pelajar baharu mendaftar
- Akses Kepada Peranti Digital untuk murid di seluruh negara
- Moratorium pinjaman PMKS yang lebih berkesan bagi membantu peniaga kecil.
- Kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (COLA) kakitangan awam sebanyak RM 100.
Sementara itu, mengakhiri kenyataan berkenaan, Muhyiddin menghadiahkan rakyat dengan serangkap pantun.
Kubulat tekad menyelamat negara,
Membantu rakyat sehabis daya,
Andai kata PN ke Putrajaya,
Dihadiahkan 1 hari cuti kepada semua
Leave a Reply