CALON Perikatan Nasional (PN) daripada Pas bagi Parlimen Permatang Pauh menyifatkan kerusi panas itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun sudah dikuasai keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak kira-kira 40 tahun lalu.
Muhammad Fawwaz Mat Jan berkata, kerusi itu kini terbuka untuk dimenangi oleh mana-mana parti berikutan pertambahan pemilih muda yang bakal memberi impak kepada keputusan undi.
Sehubungan itu kata beliau, Pas sudah menyusun strategi untuk mendekati seramai mungkin pengundi muda berkenaan sekali gus memastikan mereka membuat pilihan tepat dengan mengundi PN pada 19 November ini.
“Bagi saya ketika ini peluang untuk menang di Parlimen Permatang Pauh adalah 50-50 bagi setiap calon yang bertanding disebabkan pertambahan pengundi muda yang pertama kali akan mengundi.
“Jadi pada saya mana-mana parti yang berjaya menambat hati pemilih muda ini mempunyai peluang lebih cerah untuk menang di kerusi itu,” katanya.
Pada PRU-15, Muhammad Fawwaz yang sebelum ini pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti akan menentang calon PKR yang juga penyandang kerusi itu, Nurul Izzah Anwar dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said serta dijangka beberapa calon lagi.
Sementara itu, bagi seorang lagi calon Pas di Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Mohamad, pengalaman pernah bertanding di kerusi tersebut pada PRU-14 meskipun tewas menjadikan beliau lebih bersedia kali ini.
Mastura yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu berkata, pemilihan beliau sebagai calon juga merupakan pengiktirafan kepada golongan muda wanita untuk membawa suara rakyat di peringkat lebih tinggi sekali gus akan merealisasikan amanah itu sekiranya diberi peluang pada PRU-15.
“Saya juga menyasarkan untuk mendekati seramai mungkin pengundi muda di Parlimen Kepala Batas yang dilihat mempunyai pengaruh cukup besar dan saya bertuah kerana mendapat sokongan jentera daripada Pas sendiri serta dari parti-parti komponen PN lain,” katanya.
Leave a Reply