[VIDEO] Ada pemimpin UMNO mahu kecilkan kemenangan BN demi PH, dakwa Hadi

Oleh BADLISHAH MAT

SEGELINTIR pemimpin dalam UMNO sedang mengatur strategi bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak mengecil.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, menerusi maklumat diterimanya, langkah tersebut sebagai strategi untuk membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas hari pengundian nanti.

Katanya, tindakan tersebut dipercayai diatur oleh sebahagian pemimpin UMNO yang mahu menyelamatkan diri masing-masing daripada kes mahkamah.

“Kami difahamkan ada dalam kalangan pimpinan UMNO yang mahu kecilkan kemenangan UMNO untuk bekerjasama dengan PH. Tindakan mengecilkan kemenangan UMNO itu dibuat bagi membesarkan kemenangan PH untuk kedua-dua parti tersebut bergabung selepas PRU-15.

“Sekarang ini ramai dalam kalangan orang UMNO yang tak setuju dengan PH sementara golongan tertentu ini berjanji akan mendukung pemimpin yang nak bergabung dengan PH, untuk membebaskan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

Abdul Hadi berkata, golongan terbabit diyakini cuma mahu selamatkan diri sendiri dan bukan hendak membantu rakyat.

“Sama ada mereka mahu jadikan pemimpin PH sebagai Perdana Menteri, perkara itu kini terpulang kepada BN sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, langkah tersebut merupakan susulan kepada kegagalan pihak tertentu untuk menarik UMNO ke dalam ‘khemah besar’ sebelum ini.

“Mereka cuba guling kerajaan PN di Persekutuan tetapi gagal. Mereka jatuhkan kerajaan negeri di Perak tetapi tak boleh tubuh kerajaan. Itu tanda aras yang boleh dibaca dengan jelas. Terdapat cubaan membawa BN ke arah itu (bekerjasama dengan PH) namun apa yang pasti, kita jelas takkan bersama PH,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *