Mustapa Mohamed

PRU-15: Mustapa tak pertahan kerusi Parlimen Jeli

PENYANDANG kerusi Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan tidak mempertahankan kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) , perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Keputusan ini dibuat antaranya selepas mengambil kira nasihat doktor mengenai tahap kesihatan yang tidak mengizinkan saya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang berkesan.

“Sehubungan ini, saya ingin menzahirkan ucapan setinggi terima kasih kepada semua rakyat di kawasan Parlimen Jeli yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama sepanjang saya merencanakan agenda pembangunan sosioekonomi di Parlimen Jeli sejak tahun 1995,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustapa dalam ada itu mengucapkan setinggi terima kasih kepada sahabat yang menganggotai Jemaah Menteri atas segala bimbingan dan kerjasama yang diberikan sepanjang berada dalam barisan Jemaah Menteri.

“Terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan, penjawat awam Persekutuan dan negeri serta parti atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan ahli Parlimen,” katanya.

Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa menyandang kerusi Parlimen itu sejak 1995.

Beliau bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Mohd Apandi Mohamad, dalam PRU10 pada 1999 sebelum kembali memenanginya pada PRU11 (2004).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *