GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan calonnya bagi 13 kerusi Parlimen di Sabah yang akan bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) manakala Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon di 11 kerusi.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan perkara itu dalam majlis sama di sini hari ini, memperlihatkan tiada pertembungan berlaku antara dua rakan kerjasama dalam mentadbir kerajaan Sabah itu.
Hajiji dan Bung Moktar tidak mengumumkan calon kerusi Parlimen Beluran yang disandang Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan namun Bung Moktar ketika berucap berkata satu kerusi Parlimen masih dalam perbincangan tanpa menamakan kerusi itu.
Hajiji berkata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) bakal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu.
Beliau berkata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri mempertahankan Parlimen Keningau manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri Kedua Datuk Jonathan Yasin daripada Bersatu mempertahan Parlimen Ranau.
Pengumuman Hajiji itu menyaksikan GRS diwakili enam calon daripada Bersatu, PBS (4), STAR (2), Parti Maju Sabah (SAPP) (1) manakala Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Yamani Hafez Musa dari Bersatu tidak mempertahankan kerusi Parlimen Sipitang.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri mengumumkan mempertahankan Parlimen Kinabatangan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kembali bertanding di Kota Belud yang dipegangnya selama dua penggal sebelum bertanding dan tewas di Sepanggar pada PRU14.
Dua Timbalan Menteri mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing iaitu Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya di Pensiangan manakala Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Mohamad Alamin daripada UMNO di Kimanis.
Bung Moktar juga mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Semporna Abd Aziz Mohd Ibno akan bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang diadakan serentak dengan PRU15.
Pengumuman Bung Moktar itu juga menyaksikan 10 calon BN adalah daripada UMNO, manakala satu calon daripada PBRS.
GRS dianggotai Bersatu, PBS, STAR, SAPP dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menjalin kerjasama bersama BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan PBRS bagi mentadbir kerajaan Sabah.
Berikut merupakan senarai penuh calon GRS dan BN di Sabah pada PRU15:
SABAH
P167 Kudat – Datuk Seri Ruddy Awah (GRS-Bersatu)
P168 Kota Marudu – Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (GRS-PBS)
P169 Kota Belud – Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (BN-UMNO)
P170 Tuaran – Datuk Joniston Bangkuai (GRS-PBS)
P171 Sepanggar – Datuk Yakub Khan (BN-UMNO)
P172 Kota Kinabalu – Yee Tsai Yiew (GRS-PBS)
P173 Putatan – Datuk Shahelmey Yahya (BN-UMNO)
P174 Penampang – Kenny Chua Teck Ho (GRS-STAR)
P175 Papar – Datuk Armizan Mohd Ali (GRS-Bersatu)
P176 Kimanis – Datuk Mohamad Alamin (BN-UMNO)
P177 Beaufort – Datuk Siti Aminah Aching (BN-UMNO)
P178 Sipitang – Datuk Matbali Musah (GRS-Bersatu)
P179 Ranau – Datuk Jonathan Yassin (GRS-Bersatu)
P180 Keningau – Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-STAR)
P181 Tenom – Jamawi Jaafar (BN-UMNO)
P182 Pensiangan – Datuk Arthur Joseph Kurup (BN-PBRS)
P183 Beluran – (belum diumumkan)
P184 Libaran – Suhaimi Nasir (BN-UMNO)
P185 Batu Sapi – Mohd Khairul Firdaus Akbar Khan (GRS-Bersatu)
P186 Sandakan – Lau Chi Kong (GRS-SAPP)
P187 Kinabatangan – Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-UMNO)
P188 Lahad Datu – Datin Maizatul Akmam Alawi (BN-UMNO)
P189 Semporna – Nixon Abdul Hadi (GRS-Bersatu)
P190 Tawau – Lo Su Fui (GRS-PBS)
P191 Kalabakan – Aslan Fadli Samsul Alang (BN-UMNO)
PRK DUN BUGAYA
N66 Bugaya – Abd Aziz Mohd Ibno (BN-UMNO
–BERNAMA
Leave a Reply