INDIVIDU ditampilkan Perikatan Nasional (PN) bagi mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah calon bersih daripada isu integriti, disenangi dan boleh berkhidmat kepada masyarakat.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kriteria pemilihan calon PN telah dibuat dengan teliti merangkumi pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional.
Menurutnya, beliau bersyukur dengan sokongan padu daripada pemimpin serta anggota dan jentera parti baik Bersatu, Pas, GERAKAN mahupun parti Bersekutu kerana menyambut pengumuman calon PN dengan berlapang dada dalam suasana harmoni.
“Alhamdulillah Majlis Pengumuman Calon Parti Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 malam tadi berjalan dengan lancar.
“Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, kriteria pemilihan calon PN telah dibuat dengan teliti merangkumi pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional.
“Namun, yang lebih penting adalah calon-calon kita bersih daripada isu integriti, disenangi dan boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya di Facebook hari ini.
Muhyiddin yang mempertahankan Parlimen Pagoh pada masa sama menyeru semua calon PN, agar bangkit dan memikul amanah menguruskan nasib rakyat sebagai satu jihad.
Beliau menegaskan, mereka diingatkan agar jangan tidur atau leka, sebaliknya hendaklah menyampaikan risalah perjuangan PN ke seluruh pelosok negara,
Katanya, ini bagi mencapai wawasan parti untuk mewujudkan Kerajaan Perikatan Nasional yang berintegriti, prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST).
“Kita tidak rela melihat negara ini jatuh ke tangan puak-puak tidak amanah, yang akan melakukan kemungkaran dan kerosakan kepada negara tercinta ini.
“Kepada seluruh jentera parti, marilah bersama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk memastikan kemenangan kita dalam PRU-15 pada 19 November ini,” tambahnya.
Leave a Reply