jawatan

Akar umbi UMNO, BN Gerik berang pencalonan Asyraf Wajdi

PENCALONAN Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kelantan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bagi kerusi Parlimen Gerik, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 didakwa mengakibatkan ramai akar umbi UMNO dan penyokong Barisan Nasional (BN) bahagian itu berang.

Mereka mempersoalkan apa kurangnya jika pucuk pimpinan parti memilih anak tempatan untuk mewakili tempat mereka sendiri berbanding menampilkan orang luar atau ‘calon payung terjun’.

Asyraf Wajdi beralih ke kerusi Parlimen Gerik di Perak yang dianggap sebagai kubu kuat BN selepas tewas pada PRU-14 ketika bertanding di Parlimen Pasir Puteh kepada calon Pas, Datuk Nik Zawawi Salleh.

Untuk rekod, kerusi Gerik kosong sejak November 2020 berikutan penyandangnya sebelum ini Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia akibat serangan jantung.

Kekecewaan dan kemarahan itu diluahkan menerusi satu klip video tular yang memperlihatkan akar umbi UMNO Gerik bersama kain rentang tertulis ‘menolak calon luar’ di samping menzahirkan rasa ketidakpuasan hati dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

Seorang individu dalam video itu yang mendakwa sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian itu berkata, beliau langsung tidak dihubungi oleh mana-mana pimpinan teratas mengenai calon yang dipilih (Asyraf Wajdi) biarpun bahagian itu dikatakan menamakan 13 calon untuk dipilih sebagai calon.

“Saya Naib Ketua UMNO Bahagian langsung tidak dihubungi macam mana saya hendak menjawab dengan ahli-ahli UMNO yang lain. Saya bukan hendak menghasut tetapi ini adalah ketetapan kita, nak ingatkan (supaya) tolak calon luar.

“Mengapa tidak pilih (kalangan) kita, apa kurangnya kita (calon tempatan)? Ini tempat kita, ini budaya kita, ini calon kita, betul?.

“Bukan nak menghasut tetapi penat dengan permainan ini. Kami tak sanggup dijadikan sebagai ‘tikus makmal walaupun dalam pilihan raya sebelum ini sekali pun kami di Gerik tidak pernah gagal, ” katanya dalam video itu, lapor Agenda Daily.

Sebelum ini, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa tiada calon payung terjun BN di Perak termasuk dengan menafikan Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kelantan diletakkan di kerusi Parlimen Gerik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *