PN sabotaj

PRU-15: Wan Saiful bertanding di Tasek Gelugor, Dr Noor Azmi digugurkan

KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan sah akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam ini.

Pengumuman calon bagi kerusi Parlimen itu bagaimanapun hanya melibatkan negeri di Semenanjung kecuali Kelantan dan Terengganu serta Sarawak.

Muhyiddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh mengesahkan beliau menjadi calon Bersatu untuk mempertahankan kerusi tradisinya itu.

Selain itu, antara calon Perikatan Nasional yang disahkan bertanding ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun); Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Idris Ahmad (Bagan Serai); Datuk Seri Azmin Ali (Gombak); Datuk Seri Rina Harun (Sepang) dan Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya).

Selain itu turut tersenarai ialah Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Muhammad Faiz Na’aman (Bagan Datuk) dan Afif Bahardin (Shah Alam).

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, menjadi penyandang tunggal bertaraf menteri dan timbalan menteri digugurkan oleh PN.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai itu tidak disenaraikan sebagai calon PRU15 mewakili PN, ketika hampir semua penyandang kerusi Parlimen PN bertaraf menteri dan timbalan menteri kekal mempertahankan kawasan masing-masing.

Bagi menggantikan Dr Noor Azmi, PN meletakkan Naib Presiden Pas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, bertanding merebut kerusi Parlimen Bagan Serai.

Satu lagi penyandang bertaraf menteri yang tidak diumumkan adalah Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang sudah mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Mersing.

Sementara itu, PN turut bertanding empat kerusi Parlimen di Sarawak membabitkan wakil Pas dan Bersatu.

Pas meletakkan calonnya di Batang Lupar manakala selebihnya calon Bersatu di kerusi Parlimen Lubok Antu, Saratok dan Bintulu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *