‘’Janganlah tukar laluan kerana tak terpilih’’ -Tuan Ibrahim

TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli-ahli parti itu supaya tidak kecewa jika terpilih menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam kenyataan hari ini beliau menasihatkan, mereka tidak menukar haluan (perjuangan) hidup kerana tidak terpilih bertanding.

Berikut kenyataan penuh beliau:

PEMBAHAGIAN kerusi dah siap dibuat. Calon pun dah siap dalam senarai. Menunggu pengumuman sahaja. Kerja sekarang fokus ialah untuk mencapai kemenangan di kerusi kita bertanding. Susun dan bantu capai strategi tepat, gerak kerja perlu tersusun. Jangan banyak nakhoda. Pengarahan biar satu sahaja.

Masa ini bukan nak cari kelemahan dan kesalahan. Tapi nak tutup kelemahan dan bina reputasi positif dalam kalangan pengundi. Bila kita dah buat keputusan, melalui puluhan perbincangan, perundingan, perbahasan maka tawakallah kepada Allah. Semoga Allah beri kemenangan kepada PN.

Kepada yang diamanahkan bertanding, teruskan mendekati pengundi. Jaga kebajikan petugas. Ada petugas belakang tabir, mereka tidak dikenali dan disanjung, tidak ke hadapan dalam majlis namun terus bekerja mengharapkan kemenangan calon. Raikan mereka dalam majlis dan doa.

Kepada yang tidak terpilih, terimalah dengan lapang dada kerana Allah angkat taklif dari kita, meringankan hisab di akhirat. Jangan tukar haluan hidup semata-mata rasa kecewa kerana tidak terpilih. Mungkin ada tempat yang sesuai yang sedang disusun oleh Allah.

Kekal bersama jemaah, kerana hidup bukan hanya hari ini. Ambillah dan renungilah sejarah perjuangan parti yang panjang ini. Jangan kita hitamkan diari hidup semata-mata menurut nafsu kekecewaan, lalu kita rasa pendapat kita lebih hebat dari pandangan jemaah.

Jangan rasa hebat bila boleh melawan perjuangan Islam, dan jangan rasa hebat sekalipun kamu berjaya mengalahkan perjuangan Islam. Sentiasa berhati-hati dengan tipu daya syaitan, meniup nafsu sombong, kecewa dan rasa hebat.

Kepada Allah kita mohon dipandukan kehidupan, kerana perjalanan hidup perlukan keberkatan dari Allah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *