PENGAGIHAN kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah selesai dan parti komponen, Bersatu, akan mengumumkan senarai calonnya dalam “sehari dua lagi”, kata Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Pembahagian kerusi telah dibincangkan dengan baik dan masing-masing (parti komponen) juga gembira dengan pengagihan kerusi itu,” katanya dan menambah pengagihan kerusi itu dimuktamadkan dengan cukup harmoni.
PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Mohamed Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata Bersatu telah memuktamadkan calon PRU15 parti itu yang akan diumumkan dalam tempoh satu dua hari.
“Tumpuan kita untuk pilihan raya ini adalah mewujudkan gabungan kerajaan yang kuat, bersih serta dapat menjamin masa depan rakyat dan negara,’’ katanya yang juga merupakan Pengerusi PN Selangor.
Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-sama Komuniti di Dewan Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRU15 pada Sabtu ini (5 Nov), hari pengundian pula pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA
Leave a Reply