PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kata putus dalam pemilihan calon parti itu untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata demikian di tengah-tengah spekulasi dia orang yang membuat keputusan mengenai pencalonan kerana dia pengarah pilihan raya PKR.
“Ada rangka kerja untuk buat keputusan (mengenai calon). Ia bukan seperti saya pilih. Saya rasa itu satu penghinaan kepada Anwar kerana tugas saya ialah menyenarai pendek dan mengemukakan nama-nama itu kepada Anwar tetapi keputusan muktamad dibuat oleh Anwar.
“Jika dia (Anwar) rasa sesuai, maka dia akan memanggil dan menyampaikan serta meyakinkan (calon),” kata Rafizi dalam laporan Malaysiakini.
Rafizi berkata, Anwarlah yang meyakinkan bekas naib presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin turun bertarung dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk di Perak.
Menurutnya di sebalik khabar angin dia menghantar Shamsul ke Bagan Datuk untuk disingkirkan dalam pilihan raya akan datang, jelas Rafizi ia melibatkan banyak perkara lain dalam membuat keputusan itu.
Kata Rafizi, penyandang kerusi parlimen Hang Tuah Jaya itu mempunyai rekod prestasi pilihan raya yang baik, kerana dia telah berjaya menewaskan pemimpin politik Umno Melaka Mohd Ali Rustam sebanyak dua kali dalam pilihan raya sebelum ini, menyebabkan dia digelar ‘pembunuh gergasi’.
‘Seperti tembak kaki sendiri’
Rafizi juga menegaskan PKR telah beberapa kali hampir mengalahkan Zahid di Bagan Datuk, seperti pada pilihan raya 2008 dan 2013, apabila Zahid menang dengan majoriti masing-masing 2,692 dan 2,108 undi.
Bukan itu sahaja, pada pilihan raya 2008 dan 2013, PKR juga memenangi kerusi DUN Hutan Melintang, yang terletak di bawah Bagan Datuk.
Pada pilihan raya 2018, Umno berjaya merampas kembali DUN Hutan Melintang manakala Zahid meningkatkan majoritinya di Bagan Datuk kepada 5,073 undi.
“Bagan Datuk sentiasa menjadi kerusi pinggiran untuk PKR… jadi tidak seperti, oh ini Rafizi cuba menyingkirkan semua orang. Bukan macam tu.
“Jika anda berada pada kedudukan saya, tugas utama saya ialah memberikan keputusan pilihan raya yang terbaik kepada PKR dan Pakatan Harapan.
“Jika saya membawa emosi peribadi atau saya kurang objektiviti maka saya seakan menembak kaki saya sendiri,” kata Rafizi.
Apabila Shamsul mula-mula diberitahu mengenai rancangan untuk menghantarnya ke Bagan Datuk, dia merasakan ia tidak perlu, kata Rafizi.
Tetapi selepas keputusan itu dijelaskan kepada Shamsul, dia bersetuju dengan hujah-hujah yang dikemukakan dan sejak itu telah memahami idea itu, kata Rafizi.
“Ia di luar kotak pemikiran untuk memberinya peluang bagik menyahut cabaran ini.
“Mudah-mudahan, ia mendorongnya ke luar jangkaan kerana dia mempunyai peluang untuk menjadi ‘pembunuh gergasi’ sekali lagi,” kata timbalan presiden PKR itu.
‘Akar umbi faham’
Sementara itu, mengulas kenyataan veteran PKR Tian Chua mengenai rombakan calon ahli parlimen “seperti bermain terup,” Rafizi berkata dia memahami dan menghormati mengapa sesetengah dalam parti itu mungkin mempunyai pendapat sedemikian.
Bagaimanapun, tegasnya PKR mengambil kira sentimen akar umbi dan jentera di lapangan ketika memilih calon mereka.
“Bagaimanakah kita mengimbangi antara seorang tokoh negara dan sokongan di lapangan terutama daripada jentera parti? Sebab itu anda lihat hampir tidak ada bunyi bising (dari akar umbi),” katanya.
Rafizi berkata keadaan PKR terkawal susulan perbincangan mengenai calon PRU15 parti itu.
“Saya masih ingat dalam pilihan raya sebelum ini, kekecohan mengenai calon adalah lebih kuat…
“Saya boleh katakan dengan pasti ia benar-benar terkawal sekarang dan pada umumnya, parti menghormati dan mematuhi keputusan dan memahami gambaran lebih besar,” katanya.
Walaupun terdapat beberapa perubahan pada saat akhir, Rafizi berkata akar umbi memahami bahawa pelarasan ini dibuat demi naratif di peringkat nasional.
Tian Chua semalam dilaporkan berkata merombak ahli parlimen dan kerusi parlimen seperti “main terup” bukan sahaja menyakitkan akar umbi parti tetapi juga mengecewakan pengundi.
Dia mengulas pengumuman PKR mengenai calonnya untuk PRU15 malam kelmarin.
Penyandang ahli parlimen Batu P Prabakaran dikekalkan sebagai calon bagi kerusi parlimen itu, dengan Tian Chua dikatakan turut mengintai kemunculan semula.
Bagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ginie Lim, yang berkeras mahu bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah, Rafizi berkata ia bukan isu.
“Dia (Ginie) mahukan kerusi DAP, yang bukan isu,” katanya.
Alor Gajah kubu kuat MCA sehingga 2018 apabila Redzuan Mohd Yusof dari Bersatu menang kerusi itu yang secara tradisinya ditandingi oleh DAP.
Rafizi turut mengulas mengapa penyandang kerusi parlimen Alor Setar Chan Ming Kai tidak dicalonkan untuk mana-mana kerusi kali ini.
Ramai pindah-pindah kerusi
Dia berkata Chan mempunyai rekod prestasi berpindah kerusi setiap kali pilihan raya, yang bukan amalan yang ingin digalakkan parti.
Untuk PRU15, Chan pada mulanya menawarkan diri untuk bertanding di Bagan Datuk, tetapi Rafizi berkata idea untuk memindahkan ahli parlimen Cina dari Alor Setar untuk mencabar presiden Umno adalah “agak tidak masuk akal”.
Pada masa sama, Rafizi berkata Chan bukan pemegang jawatan kanan dalam parti itu manakala calon PKR Alor Setar yang baru diumumkan Simon Ooi merupakan ahli majlis tertinggi yang dilantik, menang pertandingan cabang PKR dan sebelum ini menjadi exco di Kedah untuk 15 tahun.
“Chan sebenarnya datang dari satu negeri ke negeri yang lain. Kami ingin menyampaikan mesej bahawa, sebaik mungkin, seorang wakil rakyat harus kekal (di kawasannya) dan berkhidmat.
“Bina pelaburan dan perkhidmatan jangka panjang kepada kawasan pilihan raya dan secara keseluruhannya, kepada kawasan sekitar,” kata Rafizi.
Sejak 2008, PKR telah meletakkan Chan di tiga negeri – Perak, Perlis dan Kedah. Chan juga tidak bertanding pada pemilihan parti yang lalu di peringkat cabang.
Leave a Reply