PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Melaka berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) tanpa mengira siapa pun calon akan dinamakan kelak.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ahli Bersatu Melaka juga kekal komited mempersiapkan jentera PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

“Kami semua ahli Bersatu Melaka kekal komited mempersiapkan jentera Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-15 ini.

“Kami berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan Perikatan Nasional menang waima siapa pun calon yang akan dinamakan pihak pusat dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yadzil berkata, Bersatu Melaka pada masa sama mengambil maklum atas perletakkan semua jawatan dan keahlian Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Menurutnya, kenyataan beliau bersifat peribadi dan tidak melibatkan jawatankuasa bahagian dan sayap bahagian Tangga Batu yang masih kekal komited bersama Bersatu.

“Bersatu Melaka terus kukuh menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Beratu Malaysia dan Pengerusi Perikatan Nasional,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yadzil memberitahu, Bersatu Melaka mengucapkan jutaan terima kasih kepada Mohd Rafiq atas segala jasa yang telah dicurahkan.

“Semoga beliau terus maju jaya,” katanya.

Petang tadi menerusi sidang media, Mohd Rafiq mengumumkan keluar parti sekali gus melepaskan semua jawatannya dalam Bersatu.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu susulan tidak dicalonkan parti di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU-15 meskipun sudah dijanjikan oleh pucuk pimpinan sebelum ini.

Katanya, surat rasmi berhubung peletakan jawatannya juga telah diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here