SEORANG lelaki didakwa atas lima pertuduhan mencederakan isteri dan tiga anaknya serta mengugut bunuh seorang daripadanya anaknya itu dengan parang.
Rony Abraham, 37, yang tidak bekerja didakwa melakukan semua kesalahan itu di rumah mereka di Bukit Tempayan, Tanjung Kling pada 17 Oktober lalu, antara jam 7 pagi hingga 11 pagi.
Prosiding kes dijalankan berasingan di Mahkamah Majistret 4 dan Mahkamah Sesyen 2, Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, Melaka, lapor Harian Metro.
Di Mahkamah Majistret, bagi pertuduhan pertama, Rony didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Nazifah Mohd. Salleh, 38, dengan memukul pipi kiri dan seluruh badan dengan menggunakan tangan.
Seterusnya dia didakwa mengulangi kesalahan sama terhadap tiga anaknya, Aryana Jasmyn Abdullah, 13, iaitu dengan cara menumbuk mulutnya hingga berdarah, Mohamad Adryan Danial, 12, (tendang belakang badan) dan Muhammad Farez Asyraf, 10, (tendang belakang badan tampar muka).
Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.
Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah dengan meletakkan parang di pipi kiri Mohamad Adryan Danial dengan mengugut isterinya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sejurus dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Timbalan Pendakwa Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan, namun mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan selepas dirayu tertuduh.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 28 Oktober depan.
Di Mahkamah Sesyen, Rony turut tidak mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isteri iaitu secara mencucuh puntung rokok di lengan kanan dan di tepi mata sebelah kirinya.
Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon supaya tertuduh dirujuk untuk pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi, Johor mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Ia berikutan Rony dalam pembelaannya menyatakan dia tidak waras dan tidak sedar ketika melakukan perbuatan itu.
Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula pada 24 November depan bagi mendapatkan laporan psikiatri.
Media sebelum ini melaporkan polis memberkas seorang lelaki disyaki kurang siuman yang mengamuk di atas bumbung rumah serta mencederakan isterinya di Kampung Bukit Tempayan Tanjung Kling.
Leave a Reply