SEORANG doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas lima pertuduhan bersubahat memperakukan pembayaran pembekalan tidak wujud berjumlah RM16,875.
Tertuduh, Megat Mohammad Fakhri Kamaruzaman, 31, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, dia didakwa bersubahat dengan pemilik perniagaan, N. Sarrvesh untuk menipu empat kakitangan Jabatan Pengurusan Hilang Upaya dan Vokasional, Pusat Rehabilitasi PERKESO Sdn. Bhd..
Tertuduh didakwa dengan sengaja memperakukan pembayaran kepada Sri Persada Megah Enterprise untuk pembekalan dan pemasangan peralatan perubatan bagi Jabatan Ortopedik Hospital Seberang Jaya berjumlah RM11,880 antara 8 Januari sehingga 10 Mei 2021.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.
Bagi pertuduhan kelima, dia didakwa bersubahat dengan pemilik perniagaan, K. Khirubakaran untuk menipu seorang kakitangan Protecthealth Corporation Sdn. Bhd.
Dia dituduh dengan sengaja memperakukan pembayaran kepada Perintis Medfix Enterprise untuk pembekalan peralatan perubatan bagi Jabatan Ortopedik Hospital Seberang Jaya berjumlah RM4,995 antara 17 Julai sehingga 3 Disember 2020.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim dan M Puvaneswaran.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dan menetapkan 29 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Leave a Reply