PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah menuduh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli Freemason sedunia.
Pejabat Presiden Pas menerusi kenyataan media berkata, pihaknya menafikan dakwaan tersebut dan untuk rekod Abdul Hadi tidak pernah mengungkapkan tuduhan seperti dikatakan.
“Merujuk kepada suatu laporan berita dan petikan video ucapan Presiden PKR yang mendakwa kononnya Presiden Pas mengatakan beliau adalah ahli Freemason sedunia.
“Pihak kami dengan ini terpanggil untuk menafikan dakwaan tersebut, malah untuk rekod Presiden Pas tidak pernah mengungkapkan tuduhan yang dikatakan itu,” kata kenyataan itu hari ini.
Mengulas lanjut, Pejabat Presiden Pas berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Pas tetap menolak budaya politik fitnah, janji kosong dan tuduhan palsu yang tidak berasas sama sekali.
Katanya, benarlah pepatah Arab yang berbunyi, ‘Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu dizalimi’.
Artikel dan rakaman video yang mengandungi dakwaan Anwar terhadap Abdul Hadi itu disiarkan dalam portal SelayangPandang.net pada 23 Oktober lalu.
Leave a Reply