Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun

TINDAKAN berani Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal mengundang padah.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana pengundi di Perak mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan riwayat politik cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

“Malah, ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim, biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menegaskan, untuk mengalahkan Presiden PKR itu juga bermakna, BN perlu bekerja keras memberi penjelasan mengapa perlu Anwar dikalahkan di situ.

Namun beliau yakin pertembungan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon BN dan kehadiran Anwar sebagai calon akan meningkatkan motivasi serta semangat jentera BN Tambun dan BN Perak untuk bekerja dengan lebih kuat lagi.

Sehubungan itu beliau berharap pengundi di Tambun sedar bahawa kepimpinan PH termasuk Anwar sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU kerana ketika menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

“Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Terbaik pilihan ialah BN.

“Kita mesti menjadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *