PERTEMBUNGAN antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di 27 kerusi kritikal tidak dapat dielakkan kerana keengganan UMNO berunding;
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan ketika mengesahkan perkara itu kepada portal FMT berkata, pembahagian kerusi antara komponen telah dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Ya (ada pertembungan dengan UMNO di 27 kerusi kritikal) sebab mereka (UMNO) tidak mahu berbincang. Kita kena ingat selama ini yang menyebabkan berlakunya perpecahan dan pertembungan apabila UMNO tidak mahu berbincang dalam rundingan kerusi tersebut. Apabila sikap itu diambil mereka, kita tidak ada pilihan kerana keputusan itu telah dibuat oleh UMNO sendiri.”
Pada 19 Oktober lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Mohd Zuhdi Marzuki berkata, Bersatu sudah diberitahu agar tidak berlaku pertembungan berlaku di 27 “kerusi kritikal” dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, langkah ini bagi memastikan kerusi terbabit tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selepas BN dan PN memutuskan untuk tidak bekerjasama pada PRU ini.
Sebanyak 27 kerusi Parlimen itu melibatkan 20 kerusi dimenangi PH susulan pertembungan Pas-UMNO, manakala baki tujuh kerusi berisiko jatuh ke tangan PH disebabkan kekalahan tipis gabungan pembangkang itu pada PRU14.
Zuhdi mencadangkan kerusi terbabit dinamakan “kerusi Muafakat Nasional” bagi mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh dua parti terbesar Melayu itu.
Leave a Reply