NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak menolak kemungkinan terbentuknya kerajaan gabungan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Namun, bagi beliau, parti-parti yang akan membentuk kesepakatan untuk bekerjasama nanti perlu ada ketelusan dalam perhubungan supaya jelas segala matlamat yang didukung bersama.
Bukan sahaja dengan rakyat, yang sememangnya menjadi keutamaan, tetapi pimpinan parti yang terlibat dalam rundingan juga perlu berterus-terang dengan ahli parti supaya batasan yang ditetapkan serta hala tuju kerjasama itu dapat dihadam mereka sebaiknya.
“Saya rasa yang paling kecewa bila saya sendiri, bila ada keputusan diambil, pimpinan tak berterus-terang dengan saya.
“Kalau kita amalkan prinsip (yang didukung parti), kita berterus-terang, kita communicate, ini keputusan yang kita buat, ini adalah agenda kita dan semua parti yang mahu bersama mengangkat agenda tersebut… kami bersama anda,” katanya dalam laporan Astro Awani, semalam.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata, perlu juga dilihat rekod lampau parti-parti yang mahu menjalin kerjasama, sama ada wakil-wakil rakyatnya memiliki reputasi baik dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing sebelum ini.
Di samping itu, ujar Nurul Izzah, ada yang diketahui bergelumang dengan amalan korup selain bertindak khianat maka soal integriti juga menjadi faktor penting untuk dipertimbangkan.
“Jadi pada saya kalau kita boleh tetapkan perkara ini, kita tunjukkan gabungan ini secara rasional, objektif, nak berunding dengan emosi itu terpulang tapi ada garis panduannya, ia lebih baik.
“Ia akan menjadi sesuatu yang tidak mudah, tapi di sinilah kita perlukan kematangan, kebijakan dan kesabaran,” kata Nurul Izzah lagi.
Leave a Reply