PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau juga pernah menjadi orang Perak selama sembilan tahun sebelum ini.
“Saya nak beritahu, saya belajar di Kuala Kangsar tujuh tahun dan saya sambung pula di Kemunting dua tahun.
“Teman ini orang Perak sembilan tahun,” katanya, semalam lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar, Port Dickson.
Anwar menjawab sindiran Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengingatkan Presiden PKR itu adalah calon luar dengan mengaitkannya dari segi penggunaan loghat tempatan di Tambun yang berbeza di tempat lain di luar Perak.
Ia berikutan selepas penyandang Parlimen Port Dickson itu mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Anwar, beliau membuat keputusan bertanding di Parlimen Tambun bukannya untuk berhujah dengan Ahmad Faizal, sebaliknya untuk berkhidmat kepada rakyat di sana.
“Saya nak beritahu, Anwar yang diamanahkan menjaga negara dan membuat kerja-kerja antarabangsa masih ada, saya masih lagi Pengerusi Institut Pemikiran Islam Sedunia.
“Tapi bila saya jadi wakil rakyat, tentunya saya ada tanggungjawab khusus,” katanya.
Selain itu katanya, keputusan berpindah dari Parlimen Port Dickson bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 bertujuan untuk menguatkan parti.
Ujarnya, kerusi Parlimen Tambun dipilih memandangkan ia merupakan kerusi yang dikuasai parti Bersatu.
“Ada orang tanya kenapa pindah? Sebabnya kita nak tawan tempat lain dan Tambun pula kerusi yang dikuasai oleh Bersatu.
“Jadi kita nak cuba tawan pula di situ pula, mudah-mudahan jika dapat tawan beberapa kawasan lain, kita akan ada nilai tambah.
“Kalau kita masing-masing selalu pertahankan saja dan tak boleh berkembang ke tempat lain ia tiada nilai,” katanya.
Katanya, beliau tidak kisah persepsi sesetengah pihak yang mengatakan dirinya tidak mendapat sokongan daripada pengundi Port Dickson menyebabkan berpindah ke Tambun.
Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga penyandang kerusi Parlimen Tambun menyifatkan, sebagai anak tempatan di kawasan itu, beliau mempunyai banyak kelebihan untuk ‘menjaga’ pengundi di situ berbanding ‘orang luar’.
“Saya memang anak jati di Tambun. Walaupun selepas berakhirnya PRU15 kelak, menang atau tidak saya tetap di sini, kita raikan sesiapa sahaja yang mahu bertanding di sini.
“Sudah tentu menjadi calon anak tempatan memberi kelebihan kepada saya kerana sejak 2018 di Tambun inilah saya banyak luangkan masa dan rapat dengan mereka (pengundi) kerana saya jaga Tambun,” katanya kepada Bernama.
Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.
Leave a Reply