Tiga remaja mengaku tidak bersalah rogol gadis

TIGA remaja didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas empat pertuduhan merogol gadis bawah umur di Arau, Kangar dan Padang Besar, awal bulan ini.

Tertuduh berusia 17 dan 16 tahun yang berasal dari Kangar dan Padang Besar mengakut tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhasliza Md. Ali.

Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja pertama berusia 17 tahun didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun di kawasan Hutan Bukit Nyatoh, Padang Besar kira-kira 11.30 pagi, 9 Oktober lalu.

Malah, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama di pondok rumah di Beseri Dalam, Padang Besar kira-kira 7.30 malam, 10 Oktober lalu.

Bagi remaja kedua yang juga berusia 17 tahun serta rakan subahat tertuduh pertama, dia didakwa merogol mangsa sama pada 12 tengah hari di tempat seperti pertuduhan pertama tertuduh pertama, lapor Harian Metro.

Sementara pertuduhan seorang lagi remaja berusia 16 tahun, dia didakwa merogol mangsa sama di Arau pada 11.30 pagi, 8 Oktober lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam Syed Saifulizan Syed Abd Razak.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 November hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 bagi tertuduh pertama manakala RM1,000 bagi tertuduh kedua dan ketiga.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *