DAP menganggap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersenda Perlembagaan negara apabila mendakwa kenyataannya mahu memecat 12 menteri Kabinet sebagai sekadar gurauan.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, isu pemecatan anggota Kabinet dan pembubaran Parlimen adalah sesuatu yang serius dan sangat tidak wajar dijadikan bahan jenaka.
Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, Ismail Sabri perlu membuat keputusan dengan mendasarkan tindakannya kepada kepentingan rakyat serta negara.
“Tiada siapa yang dapat memahami logik pelik Ismail Sabri bahawa 12 menteri PN (Perikatan Nasional) yang masih berada dalam Kabinet bermakna dia hanya bergurau (dengan cadangan memecat mereka),” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.
Pada 17 Okt lalu Ismail Sabri berkata beliau sepatutnya memecat semua 12 menteri yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta agar Parlimen hanya dibubarkan pada tahun depan.
Ia dibuat ketika pemimpin tertinggi UMNO mendesak Ismail Sabri segera menghadap Agong bagi mencadangkan pembubaran parlimen, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya umum (PRU) ke-15.
12 menteri itu membabitkan ahli Parlimen serta senator dari PN.
“Saya sebagai abang tua, kalau kamu semua tak setuju, saya bubarkan Kabinet ini, pecat saja semua orang.
“Saya boleh buat. Silap, patut saya pecat semua sekali.
“Tapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, bukan lembut… ” katanya semasa berucap di majlis bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, Perak.
Persoal kelayakan Ismail Sabri
Semalam selepas salah seorang daripada menteri terbabit, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, memberikan reaksinya, Ismail Sabri menjelaskan, beliau hanya berseloroh apabila berkata demikian.
“Kalau saya serius dia (menteri-menteri PN) sudah kena pecat dah, tapi dia (mereka) masih ada dalam Kabinet.
“Saya tak pecat itu maksudnya saya berselorohlah,” katanya.
Menurut Guan Eng, apa yang berlaku itu menunjukkan Ismail Sabri keliru serta tidak jujur kerana membuat pusingan U beberapa kali.
Kata penyandang kerusi Parlimen Bagan itu menjelaskan, pada 11 Okt lalu Ismail Sabri menyalahkan 12 menteri PN kerana menghantar surat kepada Agong, namun menyatakan sebaliknya sehari kemudian dengan mendakwa mereka hanya mengikut arahan pemimpin parti.
“Pada 17 Okt Ismail Sabri membuat pusingan U kedua dengan berkata dia sepatutnya memecat 12 menteri PN kerana menulis surat kepada Agong.
“Kemudian pada 19 Okt, Naib Presiden UMNO itu membuat pusingan U ketiga dengan mengatakan dia hanya bergurau tentang cadangan memecat 12 menteri PN.
“Adakah Ismail Sabri layak menjadi perdana menteri dengan membuat tiga pusingan U dalam tempoh satu minggu?” katanya.
Guan Eng juga mengiringi kenyataan tersebut dengan petikan serangkap lagu I Was Only Joking nyanyian Rod Rod Stewart:
I was only joking my dear (my dear)
Looking for a way to hide my fear (my fear)
What kind of fool was I? (Was I)
I could never win (never win)
Leave a Reply