PERJUMPAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan pimpinan UMNO 12 Oktober lalu adalah untuk menyelami hati budi parti itu dan mendengar apakah syarat-syarat yang bakal diletakkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dalam pertemuan itu, Tuan Ibrahim pula hadir sebagai saksi pertemuan dan mencatit butiran perbincangan.
Beliau menegaskan, pada pertemuan itu, hanya empat pemimpin kedua-dua parti yang hadir tidak seperti gambar ditularkan iaitu tujuh orang.
“Hadirnya Presiden Pas adalah untuk menyelami hati budi UMNO, dan mendengar apakah syarat-syarat yang bakal diletakkan Presiden UMNO. Timbalan Presiden Pas pula hadir sebagai saksi pertemuan, dan mencatit butiran perbincangan.
“Saya bersaksi bahawa, Presiden Pas dan Timbalan Presiden Pas telah bercakap benar, tidak berbohong, dan tidak pernah memungkiri janji,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut mengenai gambar tujuh pemimpin di meja makan berkenaan, Ahmad Fadli berkata, foto berkenaan adalah ketika tetamu sampai, semuanya duduk berbual sekitar sepuluh minit.
Selepas itu katanya, tiga orang pemimpin UMNO yang lain pun beredar, tinggal lah empat orang pimpinan iaitu Presiden dan Timbalan Presiden Pas dan UMNO yang berbincang sekitar satu jam.
“Kekanda saya Asyraf (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki) juga berada di luar sepanjang perbincangan.
“Tidaklah perlu saya dedahkan syarat-syarat yang dikemukakan. Namun tempoh singkat diberikan kepada Presiden Pas untuk memuktamadkan keputusan, iaitu Jumaat 14 Oktober (dua hari),” katanya.
Ahmad Fadli yang juga penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas menjelaskan, keesokan hari selepas pertemuan dengan pimpinan UMNO berlangsung Mesyuarat Pas Pusat dengan bilik mesyuarat penuh walaupun hari bekerja.
Menurutnya, tidak timbul soal kerusi, tidak timbul soal Perdana Menteri kerana yang dimusyawarahkan adalah soal hukum, apakah maslahahnya, apakah mudharatnya.
“Yang timbul adalah soal nasib, bukan nasib kerusi dan pimpinan (siapa kena ‘charge’ esok, siapa kena ‘charge’ lusa) tetapi nasib agama, bangsa, dan negara.
“Usai musyawarah hampir empat jam, maka keputusan muktamad telah dicapai iaitu dipersetujui, diperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) hadapi PRU, penyatuan ummah yang terbuka tetap diteruskan.
“Objektifnya adalah untuk menyelamatkan negara, daripada terjarah di bawah PH yang lebih besar mudaratnya,” katanya menambah, itu sedikit fakta bagi menjernihkan sedikit kekeruhan yang diperlihatkan.
Pertemuan empat pemimpin berkenaan mencetuskan polemik apabila
Asyraf Wajdi mendakwa Pas memaklumkan jika bersama PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada Pas.
Bagaimanapun, kenyataan Asyraf itu disangkal Tuan Ibrahim yang dilaporkan berkata, isu kerusi tidak pernah dibincangkan pada pertemuan tertutup dengan dua pemimpin UMNO pada 12 Oktober lalu.
Leave a Reply