TIADA yang menghalang rakyat untuk keluar mengundi dalam keadaan negara yang aman serta fenomena alam yang dirasakannya masih boleh didepani untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.
Dalam wawancara bersama Astro AWANI, Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan berkata;
“Bukan ada rusuhan pun, tak pernah ada rusuhan sepanjang 14 kali PRU diadakan di Malaysia, aman damai sahaja. Kalau hujan, pakailah payung. Jadi pada saya, mereka perlu keluar mengundi.”
Beliau meramalkan peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti adalah sekitar 75 peratus.
Angka itu, katanya, sudah cukup baik untuk mencerminkan proses demokrasi berkesan daripada jumlah pengundi yang lebih ramai berbanding PRU sebelum ini pada 2018.
Beliau berkata, PRU15 bakal menyaksikan sekitar 21 juta pemilih berdaftar layak mengundi, peningkatan hampir sekali ganda daripada jumlah pengundi pada PRU14 dan daripada jumlah itu , masih ramai yang tak ambil peduli.
“Mereka jenis tak kisah apa berlaku di kiri dan kanan mereka, mungkin malas nak ambil bahagian dalam proses demokrasi jadi saya ramalkan secara peribadi mungkin yang keluar mengundi adalah 75 peratus.
“Mereka yang tak keluar mengundi itu secara tak langsung telah menyerahkan hasrat mereka itu kepada mereka yang keluar mengundi – walaupun itu tidaklah yang setepatnya – tapi kalau mereka tak keluar, itulah yang boleh disangkakan,’’ katanya.