Ismail Sabri: ‘PH, PN, GTA adalah musuh utama perlu digempur BN’

PAKATAN Harapan (PH) Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) adalah musuh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang perlu digempur oleh Barisan Nasional (BN) dengan segala kekuatan yang ada, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, segala ‘senjata’ dan ‘peluru’ yang dimiliki BN perlu dihalakan kepada musuh parti terbabit itu sambil mengelak terkena parti sendiri yang mungkin boleh menyebabkan calon BN tewas di sesuatu kawasan.

Katanya, jentera BN perlu menyedari dan mengenali siapa lawan dan kawan mereka sebenarnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita kenal siapa musuh kita, siapa di sebelah sana, ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA). Itu musuh kita yang kita dah kenal pasti.

“Jadi halakan seluruh senjata dan peluru untuk tembak mereka bukan kaki sendiri, kita sudah tahu nak lawan siapa.

“Saya juga minta fitnah kepada kita mesti dijawab segera dan jangan dibiar sehingga tiga atau empat hari kerana persepsi yang wujud jika tak ditangkis akan jadi fakta,” katanya ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dataran Serdang di Bandar Baharu, lapor Berita Harian.

Hadir sama Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada masa sama, Ismail Sabri melihat Ahmad Zahid sebagai pemimpin berjiwa besar yang terus menyokongnya menjadi Perdana Menteri sejak awal lagi.

Katanya, semangat itu seharusnya ada dalam diri setiap ahli dan pemimpin BN, sekiranya individu disokong mereka tidak dicalonkan pada PRU-15 kali ini.

“Apabila tak dapat (jadi calon), saya tahu ramai akan kecewa. Tak apa kalau sedih, bersedihlah. Tiada masalah kita bagi dia tempoh bertenang dua ke tiga hari bawa hati lara nak pergi pantai di Langkawi pun boleh.

“Tetapi selepas itu mesti keluar untuk berkempen bagi memastikan parti kita menang. Jangan ada sabotaj (termasuk) di Kedah. Kita kena berjiwa besar, saya nak beritahu orang yang paling berjiwa besar dalam kalangan kita adalah Datuk Seri (Ahmad) Zahid yang sokong bila saya jadi Perdana Menteri,” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap tidak berlaku sebarang tindakan sabotaj dalaman kerana matlamat utama BN adalah untuk kembali memerintah dan menang pada PRU-15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *