PRU-15: Pilih Melayu penjenayah atau Melayu bebas kes jenayah

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi, orang Melayu boleh memilih antara ‘Melayu penjenayah’ dalam UMNO atau Melayu yang bebas daripada kes jenayah.

Hal ini kerana, Dr Mahathir Mohamad percaya orang Melayu hanya ingin diperintah oleh kerajaan yang didominasi oleh kaum itu.

“Orang Melayu ingin diperintah oleh Kerajaan yang didominasi Melayu.
“Dalam PRU-15, orang Melayu boleh pilih antara Melayu penjenayah dalam UMNO dan orang Melayu yang bebas dari kes-kes jenayah dari parti Pejuang serta rakan-rakan yang semuanya Melayu,” katanya di Facebook hari ini.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sehubungan itu menjelaskan, masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama parti berkenaan.

Menurutnya, Pejuang mewakili empat parti politik Melayu iaitu Pejuang, Putra, Iman dan Berjasa serta ramai orang Melayu yang tidak dibenar aktif dalam politik.

“Masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama dalam agenda Pejuang.

“Keluhuran undang-undang akan dihormati. Kuasa tidak akan disalah guna. Rasuah akan diperangi, kos sara hidup akan diturun. Negara akan dipulih sehingga kembali menjadi Harimau Asia,” tambahnya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, GTA yang ditubuh pada Ogos lalu telah menyatakan pendirian untuk meletakkan 120 calon di seluruh negara pada PRU-15 dengan lebih 30 peratus adalah calon muda.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *