SEMUA parti komponen Perikatan Nasional (PN) Pahang bersetuju menggunakan logo gabungan parti politik itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, parti komponen PN Pahang juga telah selesai membuat persiapan menghadapi pilihan raya itu.

Menurutnya, persetujuan untuk hanya menggunakan logo PN bagi semua calon parti komponen PN Pahang yang akan bertanding pada PRU-15 telah ditetapkan oleh Pas Pusat.

Beliau berkata, penggunaan logo yang berasingan antara Pas, Bersatu dan Gerakan, bukan satu keperluan, sebaliknya tumpuan lebih kepada usaha bagi memastikan parti menang dan menerajui kepemimpinan negeri.

“Perkara asas yang utama tentang agihan kerusi. Alhamdulillah telah selesai dengan penuh harmoni antara PAS, Bersatu dan Gerakan.

“Namun, agihan kerusi bagi peringkat negeri yang akan bertanding pada PRU-15 akan diumumkan kemudian,” katanya menurut lidah rasmi PAS, Harakah.

Andansura yang juga Timbalan Pengerusi PN Indera Mahkota berkata, pada 10 Oktober lalu, Pahang telah menyempurnakan majlis pelancaran PN bertempat di Kompleks Al Makmur Kerdau, Temerloh, yang dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau, jentera PN kini sudah bersedia dengan perancangan gerak kerja dalam menghadapi PRU-15.

“Sehingga kini, respons yang diterima daripada seluruh jentera yang berada di bawah PN adalah sangat positif dan suasananya sangat baik untuk Pahang menuju PRU-15 kelak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here