Tanpa protokol, Radzi rai Hari Sukan Negara bersama pelajar GENIUS

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di Putrajaya Sabtu lalu tanpa protokol atau sambutan rasmi yang menjadi sebahagian daripada aktivitinya sepanjang berada dalam kementerian.

Beliau melawat sekolah tersebut bertujuan untuk bersama-sama para pelajar GENIUS Negara dan GENIUS Kurnia menyertai program Hari Sukan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak Genius sempena Hari Sukan Negara.

“Meriah program tadi dengan kehadiran murid dan ibu bapa. Bukan anak-anak sahaja yang gembira dan seronok menyertai aktiviti yang disediakan, ibu bapa pun saya nampak begitu teruja menyertai pertandingan,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

ANTARA pelajar yang terlibat dalam sambutan Hari Sukan Negara di SK Putrajaya Presint 17(1).Gambar FB Radzi Jidin

Beliau berkata, mereka mewakili pasukan adiwira Superman, Ninja Turtle, Bumblebee & Captain America.

“Singgah ke sekolah atau program sekolah tanpa protokol atau sambutan rasmi memang menjadi amalan saya sejak berada di KPM.

“Melalui pendekatan ini saya dapat meluangkan lebih masa untuk berjumpa dengan anak-anak murid, cikgu dan ibu bapa,” tambahnya.

Katanya, pentadbir sekolah dan guru juga tidak perlu membuat persiapan berhari-hari dengan bermacam-macam jawatankuasa dan apa yang penting beliau dapat mengetahui kepayahan dan situasi sebenar yang berlaku di sesebuah sekolah.

“Kemudian langkah penyelesaian akan diambil.

“Terima kasih semua, maaf pak cik muncul secara tiba-tiba tadi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *