PRU15: Tiga panduan pilih parti terbaik

SEPERTI semua sedia maklum, kita akan mengundi dalam masa terdekat dan tarikh pengundian akan diketahui setelah SPR bermesyuarat Khamis ini.

Bagi pengundi tegar, sudah tersemat dalam diri masing-masing parti mana yang perlu dipilih dan pemimpin manakah akan terus disokong.

Golongan pengundi berkenaan juga tidak akan mudah dihasut atau berubah pendirian kerana sudah mempunyai kepercayaan kukuh terhadap parti mereka. Berbeza dengan pengundi atas pagar yang sokongan mereka boleh berubah mengikut keadaan dan juga sentimen semasa. Begitu juga dengan golongan pengundi muda yang ada antaranya masih kabur tidak tahu hendak memilih pemimpin dan parti sesuai.

Kecelaruan politik yang berlaku akhir-akhir ini juga menyebabkan sesetengah pengundi masih tercari-cari parti yang betul-betul dirasakan tepat untuk menjadi kerajaan. Dalam kalangan rakan-rakan Tok Chey sendiri, masih ramai yang belum membuat keputusan dan mereka juga memerlukan pandangan daripada orang lain.

Apabila ditanya mengenai hal itu, Tok Chey pun kongsikan panduan untuk memilih parti dan calon yang jika diteliti, ia adalah tindakan paling tepat dalam keadaan politik yang tidak menentu ini. Untuk buat pemilihan yang sukar ketika ini, kita sebenarnya kena kembali kepada agama Islam kita maka parti yang hendak dipilih itu mestilah sentiasa mempertahankan agama.

Pengundi boleh nilai sendiri parti mana yang sentiasa peka akan permasalahan umat Islam dan penganut agama lain berasa selamat berada di bawah pimpinan mereka. Jangan sesekali memilih parti yang disokong oleh pemimpin radikal yang memperjuangkan perkara-perkara bertentangan Islam seperti LGBT dan menghina Islam.

Tidak wajar memberi undi kepada parti yang didokong oleh pemimpin yang sentiasa mengeluarkan kenyataan perkauman dan mempertikaikan keistimewaan agama Islam. Ketepikan golongan yang mempertahankan wanita yang menghina Islam semasa persembahan komedi di sebuah kelab dekat Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini.

Maka, golongan yang terang-terang terlibat dengan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian agama dalam negara tidak wajar diberi peluang memimpin.

Seterusnya Tok Chey akan memilih pemimpin dan parti yang bersih daripada rasuah kerana perbuatan itu sudah pasti mendatangkan mudarat besar kepada negara. Banyak wang negara hilang dan Malaysia boleh menjadi muflis jika pemimpin parti yang banyak terlibat dengan rasuah terus diberi peluang memerintah.

Selagi mana kita memberi undi kepada parti rasuah, selagi itu masalah dalam negara tidak akan selesai sampai bila-bila. Rakyat akan menanggung beban membayar harga yang mahal untuk setiap benda impak perbuatan rasuah dilakukan oleh pemimpin korup.

Macam-macam kesan kita dapat lihat ketika ini disebabkan perbuatan rasuah mega yang telah berlaku di dalam negara.

Kesan rasuah – banyak yang hendak dihuraikan jika dinyatakan satu persatu, maka pengundi yang matang sudah pasti akan faham betapa ‘berdosanya’ kita jika terus menyokong parti yang rosak kepimpinannya.

Yang terakhir, Tok Chey akan pilih parti yang terbukti membela nasib rakyat dengan pelbagai bantuan untuk memastikan rakyat selesa. Mereka juga boleh melaksanakan amanah diberikan dan tidak menjadi pemimpin yang hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai membuat kerja.

Sering turun padang setiap kali rakyat dalam kesusahan dan ketika menjadi kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang tidak membebankan rakyat. Dengan ciri-ciri secara umum yang dinyatakan, Tok Chey yakin pengundi dapat meneka parti mana yang harus dipilih itu. Oleh itu, buatlah pertimbangan dengan tepat kerana setiap undi yang diberikan mempunyai kesan yang besar kepada diri kita pada masa kini dan masa depan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *