PAS menafikan dakwaan kononnya Bersatu menawarkan 47 kerusi boleh menang jika parti itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya menegaskan, isu itu tidak pernah dibincangkan pada pertemuan tertutup dengan dua pemimpin UMNO pada 12 Oktober lalu.
Malah, beliau menjelaskan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendedahkan perkara itu kelmarin tidak terlibat dalam mesyuarat tersebut.
“Tak betul, dia merapu! Dia (Asyraf Wajdi) tak terlibat pun dalam mesyuarat itu. Bahkan kita sudah diingatkan agar tidak keluarkan gambar yang beliau ambil sebab pertemuan tertutup,” katanya di Facebook beliau, hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan, Asyraf Wajdi telah mungkir janji apabila menyiarkan gambar pertemuan itu dan hanya empat orang yang tahu apa perincian perbincangan.
“Dia (Asyraf Wajdi) mungkir janji. Hanya empat orang yang tahu perincian perbincangan.
“(Tawaran) 47 kerusi tidak pernah disebut dalam perbincangan itu,” katanya.
Asyraf Wajdi baru-baru ini, berkongsi gambar pertemuan melibatkan pemimpin utama kedua-dua parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Tuan Ibrahim.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata, pertemuan itu berlangsung sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama BERSATU-PN dengan parti itu turut memaklumkan ditawarkan 47 kerusi boleh menang oleh Bersatu jika menyertai PN.
Pada 13 Oktober lalu, Abdul Hadi memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dengan keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat
Leave a Reply