DATUK Seri Mohamed Azmin Ali membidas sikap segelintir pemimpin parti politik yang menyimpan niat menukar kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti dilaporkan.
Menurut penyandang kerusi Parlimen Gombak itu, sikap sedemikian hanya mempamerkan personaliti pemimpin itu sebagai tidak jujur dan tidak ikhlas selain tidak menghormati mandat yang diberikan rakyat pada PRU14.
Beliau berkata, pemimpin yang ikhlas seharusnya terus berkhidmat di kawasan yang telah diberi mandat dan bukannya menukar kawasan mengikut kehendak diri sendiri.
“Lari ke satu-satu tempat ini tidak bagus, kita bertanding beri khidmat kepada rakyat bukan sebab hasad dengki dan dendam.
“Ini bukan watak seorang pemimpin jujur dan ikhlas sebuah perjuangan, bila kita dipilih di kawasan itu, teruskan.
“Kalau niat kita zahirkan niat secara terbuka, aku tak suka orang itu dan orang ini, maka nak pergi (bertanding) tempat itu dan ini, ini bukan pemimpin,” ujar Azmin lagi, lapor Astro Awani.
Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Hari MITI 2022, di sini, pada Ahad.
Meskipun tidak menamakan pemimpin terbabit, namun Azmin menegaskan kesediaannya, berdepan dengan mana-mana pemimpin dalam PRU15 termasuk di kawasannya Gombak.
“Ini proses demokrasi siapa pun boleh datang (Gombak), saya sudah sebut banyak kali, kalau sesiapa pun dia nak hantar isteri pun boleh, anak pun boleh.
“Kalau nak hantar menantu baharu pun boleh, menantu lama pun boleh. Hendak hantar diri sendiri pun boleh saya tiada masalah,” kata Azmin.
Kenyataan Azmin itu susulan laporan yang menyebut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di ‘kerusi pengkhianat’ selain di beberapa kawasan lain yang ditawarkan kepadanya.
Antara kerusi yang disebut-sebut bakal ditandingi Anwar ialah Parlimen Gombak.
Dalam perkembangan sama, Azmin berkata, rakyat di Parlimen Gombak sudah matang untuk memilih pemimpin yang benar-benar dapat membawa pembangunan perkhidmatan serta pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.
Leave a Reply