Pas nafi Bersatu tawar 47 kerusi, dakwaan Asyraf Wajdi merapu

PAS menafikan terdapat tawaran 47 kerusi daripada Bersatu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, sehingga menjadi sebab parti Islam itu kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu 47 kerusi itu tidak disebut dalam perbincangan antara pemimpin UMNO dan Pas sewaktu pertemuan yang didedahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pada Jumaat.

“Tak betul, dia merapu. Dia (Asyraf) tak terlibat pun dalam mesyuarat tu.

“Hanya empat orang yang tahu apa perincian perbincangan… 47 kerusi tidak pernah disebut dalam perbincangan.

“Masalah utama bukan jumlah kerusi, kerana ia tiada perincian dalam perbincangan tersebut,” katanya menurut Sinar.

Menerusi hantaran di Facebooknya Jumaat lalu, Asyraf berkongsi satu gambar pertemuan di antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti, UMNO dan Pas pada Rabu iaitu sehari sebelum parti Islam itu membuat keputusan kekal bersama PN.

Gambar itu memaparkan pertemuan lapan mata antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim.

Asyraf mendakwa Pas menegaskan jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada parti itu.

Jumaat lalu, Abdul Hadi berkata Pas memilih untuk tidak bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRU-15 akan datang disebabkan pemimpin parti itu terlibat dengan perbuatan rasuah.

Katanya meskipun laluan kerjasama dengan PN lebih sukar namun pihaknya memilih untuk menjernihkan kekeruhan yang berlaku antara mereka.

“Kerana ada keruh ini kita tangguh dahulu jadi kita ambil pendekatan jernihkan keadaan dulu dengan gabungan PN. Tolak yang beri dan terima rasuah (BN). Walaupun ini (PN) lebih payah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *