UMNO Alor Setar mengaku kalah awal, jika MCA tanding kerusi Parlimen Alor Setar

Oleh BADLISHAH MAT

‘KALAU MCA bertanding juga di Parlimen Alor Setar, Pakatan Harapan (PH) akan menang dalam keadaan amat selesa. Calon mereka boleh tidur, makan nasi dan dakap isteri di rumah tanpa perlu kempen teruk-teruk kerana kita sama kita akan ‘bunuh’ calon sendiri,” kata Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail.

Beliau menjangkakan calon PH akan menang mudah di Parlimen itu sekiranya MCA diberi laluan untuk terus bertanding di kerusi tradisi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Menurut Mohd. Yusof, keadaan itu dijangka berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya MCA dilihat berdepan kesukaran untuk mendapatkan undi daripada orang Melayu yang merupakan pengundi majoriti di kawasan itu.

Justeru katanya, UMNO Bahagian Alor Setar akan terus mendesak hingga ke saat akhir agar Parlimen Alor Setar diberikan kepada mereka yang dilihat memiliki peluang lebih cerah merampas kawasan itu daripada PH.

“Cukup calon PH keluar naik kereta dan tunjuk gambar sahaja untuk menang jika MCA bertanding di sini, tetapi kalau UMNO diberikan ruang, PH kena sinsing lengan jugalah kalau nak menang.

“Minggu lepas saya sudah ke Kuala Lumpur dan minggu depan akan pergi lagi untuk terus bersuara kerana bagi saya kerusi ini sepatutnya sudah lama diserahkan kepada UMNO kerana kami mendampingi pengundi sejak sekian lama terutamanya sewaktu pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, Alor Setar, hari ini.

Melihat peluang tipis kepada UMNO mendapat kerusi itu, Mohd. Yusof berkata, beliau bercadang untuk menyerahkan jawatan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Alor Setar kepada MCA sekiranya parti tu terus diberikan mandat bertanding.

“Namun ia belum diputuskan lagi kerana masih di peringkat awal, saya bimbang kalau UMNO pegang jawatan tersebut dan BN kalah nanti, kami pula dituduh sabotaj parti, apatah lagi ketika saya sendiri masih belum bebas sepenuhnya daripada hukuman penggantungan yang kini hanya ditangguhkan sementara.

“Jadi kalau MCA bertanding, mereka ketuailah dan kami akan bantu. Kami tak boleh pimpin kerana dalam keadaan ini, takut kita buat kerja tak sepenuh hati tetapi kalau mereka tak tahu cara buat orang suka, datanglah bertanya supaya kami boleh tunjukkan caranya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO Bahagian Alor Setar tidak kisah siapa sahaja yang diangkat menjadi calon parti itu jika diizinkan bertanding di Parlimen berkenaan kerana tumpuan utama mereka adalah untuk memenangkan kerusi tersebut kepada BN.

Katanya, lima nama individu berkelayakan untuk diangkat menjadi calon UMNO di Parlimen itu telah dihantar dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan perkara itu.

“Bagi kami ini bukan soal manusia sebaliknya Allah jualah yang menentukan. Sebelum ini pun ada yang sudah dapat watikah tetapi tak dapat jadi calon. Kalau tuhan tetapkan orang itu jadi wakil rakyat, dia akan menanglah, Insya-Allah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *