PAS masih terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Selagi belum tiba hari penamaan calon, katanya semua parti termasuk PAS masih mempunyai pilihan menyertai atau mewujudkan sebarang gabungan politik.
“Hari penamaan calon menentukan satu-satu parti itu di dalam gabungan mana dan sebagainya. Jadi, saya rasa belum berakhir sekiranya ada parti ingin membuat atau mewujudkan gabungan,” katanya.
Beliau yang juga menteri tenaga dan sumber asli berkata demikian selepas merasmikan Karnival KetSA @ Kota Bharu Prihatin anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA ) di Kota Bharu.
Ditanya sama ada keputusan Pas memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) atas prinsip penyatuan ummah juga bererti parti itu menolak Muafakat Nasional (MN), Takiyuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu menafikan dakwaan itu.
“Kenyataan itu mengukuhkan hubungan dengan PN kerana Pas adalah gabungan PN…tetapi ada jumpa (dalam) kenyataan menyatakan kita (Pas) memutuskan hubungan dengan MN? Ada atau tidak?” soalnya.
Mengenai kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung parti itu sedia mempertimbangkan jalinan kerjasama dengan Pejuang pada PRU15, Takiyuddin berkata, Pas tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Dia (Bersatu) belum minta pandangan kita, saya boleh mengesahkan. Ura-ura itu saya tidak tahu betul atau tidak, kalau betul perkara itu belum dalam pengetahuan kita…kita tidak dirujuk atau diberitahu.
“Berada dalam satu keluarga nak buat apa-apa kita berbincang. Contohnya, Pas berbincang dengan UMNO, kita maklumkan dengan Bersatu secara rasmi,” katanya.
Hari ini di MARANG, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi penjelasan kenapa parti itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-15 dan menolak sekeras-kerasnya kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Abdul Hadi juga menegaskan, walaupun Pas akan menghadapi kesukaran dan lebih mudah menang bersama dengan UMNO namun ahli Pas tidak boleh gopoh.
‘’Walaupun ini lebih payah, lebih senang dengan UMNO boleh menang cepat, orang ramai sokong tapi kita tak gopoh, macam buah durian..jangan kait cepat sangat..kalau kait cepat sangat tak masak lagi, kembung perut, bagi masak betul-betul dulu.
‘’Saya tahu ada orang Pas ini, tak tahan liur, nak makan peringat durian..durian mentah lagi, kena sabar dulu, kena masak molek dulu, ada ni..bukan yang jahil…yang alim pun ada.. dia tak boleh baca politik..saya boleh baca politik, saya mengaji politik, ada yang alim dia tak baca politik, dia baca kitab aje,’’ katanya.
Leave a Reply