SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan mencuri barangan kemas bernilai RM27,000 di sebuah kedai, 12 September lalu.
Tertuduh, Anizan Sani, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri empat utas rantai dan sebentuk cincin.
Perbuatan itu dilakukan di Kedai Rosdi Tukang Emas di Jalan Wakaf Stan di Kota Bharu, antara 12.24 tengah hari hingga 1.01 tengah hari, pada 12 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff, manakala tertuduh diwakili Mohd. Firdaus Zainal Abidin.
Terdahulu, Yusnaliza menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan memohon tarikh untuk serahan dokumen.
Mohd. Firdaus dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah memandangkan suami wanita itu yang bekerja sebagai guru sedia membayar ikat jamin.
“Tertuduh adalah ibu kepada lima anak dan menghidap penyakit luka pada bahagian usus, darah tinggi serta kencing manis.
“Tertuduh perlu hadir ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan,” katanya, lapor Harian Metro.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember hadapan sebagai sebutan semula kes.
Tertuduh kemudiannya membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.
Leave a Reply