UMNO yang nak bubar Parlimen, PN pula disalahkan… politik apa ni?

Penulis boleh memahami kenapa pemimpin UMNO khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) punca terpaksa Parlimen dibubarkan.

Segalanya kerana mereka tahu betapa marahnya rakyat kepada UMNO yang semua orang tahu sejak awal tahun lagi mendesak dan memberi tekanan kepada Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen. Pada mulanya ia bermula dengan ‘percikan kecil’ apabila sekumpulan penyokong BN melaungkan ‘Bubar Parlimen’ di Bangunan UMNO Johor sejurus selepas BN memenangi PRN negeri itu.

Dari semasa ke semasa keghairahan UMNO untuk mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin semakin ketara.

 Pada 27 Ogos lalu ketika Taklimat Khas Presiden UMNO di Kuala Lumpur , laungan bubar bermula apabila Ahmad Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah memberikan panduan kepada Perdana Menteri bagi menetapkan tarikh pembubaran Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya tegaskan PRU perlu diadakan segera. MKT UMNO telah memberi panduan tarikh PRU-15 kepada Perdana Menteri selepas imuniti kelompok dicapai. Sekarang, imuniti kelompok telah dicapai, pandemik Covid-19 juga sudah berakhir. Bila lagi..bila lagi? PRU perlu diadakan bagi menghormati mandat rakyat,” katanya.

Kata-kata Zahid disusuli dengan laungan bubar oleh seluruh ahli UMNO yang bergema di Dewan Merdeka.

“Ahli-ahli parti senada mahu PRU diadakan dan memulangkan semula mandat kepada rakyat. Jadi, janganlah ada suara antara kita menuduh kita gopoh mahukan PRU. Ini bukan keputusan Zahid, ini keputusan MKT, Perhimpunan Agung dan Perhimpunan Khas,” katanya.

Sebelum itu ketika Perhimpunan Agung UMNO, dalam ucapan dasarnya Zahid  10 kali menyebut tentang PRU-15 dalam ucapan dasarnya.

“Jadi hendak tunggu apa lagi, bubarkan Parlimen,” katanya,lapor Malaysiakini.

Kemuncak tekanan ke atas Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen ialah apabila MT UMNO memutuskan pada 30 September lalu, PRU-15 mesti diadakan pada tahun ini. Apabila ditanya oleh wartawan keesokkan harinya berhubung keputusan MT itu…ini jawapan Ismail Sabri;

“Tunggu dulu. Tunggulah… kalau daripada tahun lepas sudah tunggu, tahun ini boleh tunggu. Semalam dalam kenyataan SUA (Setiausaha Agung UMNO), dia kata tahun ini (Pilihan Raya Umum) (PRU) ke-15,” katanya.

Ismail Sabri menafikan kononnya ada pihak menetapkan syarat tertentu supaya beliau memohon pembubaran Parlimen segera bagi memberi laluan PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

“Tiada (syarat). Kita dari segi UMNO, ada ‘top five’, ada Biro Politik. Tiada sesiapa yang beri sebarang ‘condition’. Kalau kita mahu buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh itu, tunggulah pengumuman,” katanya.

Tetapi yang anehnya apabila Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permintaan Ismail Sabri membubarkan Parlimen pada Isnin lalu, Munhyiddin dan menteri PN pula dituduh menjadi punca langkah itu dilakukan. Kalaupun ‘gabra’ selepas melihat reaksi rakyat terhadap pembubaran tersebut, fikirlah dulu sebelum mengaitkan orang lain. Yang mahu PRU… UMNO, Yang dok desak bubar Parlimen…UMNO, apa pasal pula Muhyiddin dan PN mahu disalahkan?

Adalah tidak wajar sama sekali pemimpin UMNO membuat kenyataan  semata-mata mahu tunjuk kepada rakyat kononnya bukan UMNO yang mahu membubarkan Parlimen tetapi mereka terpaksa melakukannya. Penulis tidak pasti siapa yang memberi idea atau nasihat kepada Ismail Sabri untuk membuat kenyataan seumpama itu sebelum ia disambut pula oleh Ahmad Zahid.

Namun apa yang pasti, sejak awal lagi rakyat tahu, yang mahukan sangat PRU, yang ‘menggigil satu badan’ mahu Parlimen dibubarkan adalah UMNO. Mereka sudah tidak sabar-sabar lagi untuk kembali berkuasa di peringkat Persekutuan selepas mencapai kemenangan di PRN Melaka dan Johor.  Pemimpin UMNO dan BN begitu yakin bahawa rakyat sudah kembali menyokong mereka selepas kemenangan di negeri tersebut. Ini adalah fakta.

Pemimpin UMNO sepatutnya sedar kita bukannya berada pada era tahun 90-an yang mungkin sukar untuk orang mengetahui siapa sebenarnya dari awal lagi ghairah mahukan PRU. Kita berada di era yang mana ‘Profesor Google’ boleh membantu.. taip sahaja ’bubar Parlimen’ di situ akan keluar segala kebenaran.

Justeru cukup-cukuplah pemimpin UMNO memutarkan fakta atau dianggap mahu memperbodohkan rakyat dengan menyalahkan orang lain sebagai punca Parlimen dibubarkan. Sepatutnya mereka bersyukur kerana selepas berbulan-bulan terpekik terlolong dan meratib siang malam mahukan PRU, kini ia sudah menjadi kenyataan.

Oleh itu hadapilah ‘peperangan’ tersebut dengan berani, bukannya panik tidak tentu hala sehingga mahu memburukkan Muhyiddin dan PN selepas melihat reaksi rakyat. Adakah UMNO bimbang akan tersungkur lagi? Jangan bimbang bukankah semangat perjuangan UMNO berkobar-kobar, kalau tidak mana mungkin, Ahmad Zahid dengan lantang berkata;

‘’Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut. Tetapi, kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, (kita) sanggup redah banjir untuk bertanding,’’.

Jadi apa nak takut untuk berhadapan perhitungan rakyat…betul tak?


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *