Penarik kereta didakwa miliki pistol, peluru hidup

PENARIK penarik kereta didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan memiliki sepucuk pistol bersama peluru hidup dan pistol tiruan pada 27 September lalu.

Hendrawan Aswan, 34, mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Colts MK IV 70 Automatic Caliber berwarna perak dengan menyalahi undang-undang.

Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah kereta Proton Persona Proton Saga BLM di hadapan rumah No 476, Jalan Desa Bayan 14, Taman Desa Bayanmas Bukit Kayu Hitam, pada pukul 1.30 petang 27 September.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (PLB) Penalti Lebih Berat 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa memiliki lima biji peluru jenis A USA 45 Auto yang disembunyikan di belakang katil di dalam bilik tidur di dalam rumah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga Hendrawan didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenama 18C Tactical 9X19 berwarna hitam bersama satu kelopak pistol WE Tactical buatan Taiwan berisi dua butir peluru bebola besi diletakkan di dalam almari di ruang tamu rumah.

Bagi kesalahan itu dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dimana hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syifa Mohd hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Syifa tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana memiliki sepucuk pistol menyalahi undang-undang.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *