muda pru-15 perak

PH adakan kerjasama dengan MUDA hadapi PRU-15

PAKATAN  Harapan (PH) akan mengadakan kerjasama politik dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum le-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya hari ini.

Katanya lagi, permohonan MUDA untuk memasuki gabungan PH secara rasmi mungkin tidak sempat diperoses, kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU15 dijangka tidak lama lagi.

 “Seperti mana diumumkan, ia akan diteruskan dan ada jawatankuasa sedang berunding untuk meletakkan beberapa perkara bagi persefahaman bersama, dan begitu juga berbincang seterusnya, kalau dipersetujui, tentang kerusi dan logo… dan kita tiada halangan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Anwar juga mengesahkan masih belum ada keputusan yang dimuktamadkan mengenai pilihan raya negeri ditadbir gabungan itu untuk diadakan secara berasingan.

Beliau berkata, perkara itu masih dalam proses rundingan bersama pucuk pimpinan setiap parti komponen masing-masing.

“Kami masih terikat dengan keputusan Majlis Presiden PH tetapi perkara itu perlu dibincangkan semula secara terperinci bersama pucuk pimpinan parti masing-masing,” katanya.

Majlis Presiden PH sebelum ini memutuskan tiga negeri yang ditadbirnya, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU-15 diadakan tahun ini.

Kerajaan negeri Selangor telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya meneruskan pemerintahan sehingga pertengahan 2023.

Anwar berkata, kepimpinan parti di setiap negeri diberi peluang untuk mengemukakan pendapat masing-masing mengenai perkara itu dalam tempoh singkat.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, keputusan PH berhubung perkara itu adalah berdasarkan konsensus ketiga-tiga negeri.

Ini bermakna ketiga-tiga negeri akan membuat keputusan sama mengenai pembubaran DUN, bagi memberi laluan kepada PRU15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *