KPM komited tingkat kecekapan kepimpinan sekolah – Radzi

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan sekolah selari dengan elemen dan nilai murni.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini termasuk penerapan dan amalan ajaran Islam termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih, amanah, prihatin dan pada masa yang sama cekap dan profesional.

“Ingatlah bahawa generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat.

“Apabila diberi amanah, laksanakan sebaiknya demi memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Pengetua dan Guru Besar sekolah menengah agama merakam gambar kenangan bersama Dr Radzi.

Pada hantaran itu, beliau berkongsi kehadirannya pada Majlis Perasmian Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM ke-6 tahun 2022 di Subang Jaya malam tadi.

Majlis itu turut disertai 400 orang Pengetua dan Guru Besar serta pegawai KPM.

Mengulas lanjut, Radzi menjelaskan, dalam konteks pengurusan sekolah agama, peranan pengetua dan guru besar amat penting dalam menerajui kepimpinan sekolah dan melancarkan pelaksanaan dasar pendidikan.

Menurutnya, mereka juga berperanan membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pengetua dan guru besar SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) dan SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan).

“Semoga terus istiqamah dan komited dalam membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *