Ismail Sabri masih di bawah telunjuk kleptokrat-Azmin

KENYATAAN media Datuk Seri Ismail Sabri yang mendakwa tindakan Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai punca ketidakstabilan politik adalah dangkal dan meleset.

Ahli Parlimen Gombak yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sudah menjadi rahsia umum bahawa pembubaran Parlimen dilakukan atas desakan UMNO.

“Punca sebenar ketidakstabilan dan ketidakharmonian dalam kerajaan hari ini adalah akibat percakaran kuasa antara kleptokrat dengan kluster Ismail Sabri.

“PN tuntas menolak cadangan pembubaran pada waktu terdekat demi memenuhi aspirasi rakyat yang mahu kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha pemulihan ekonomi dan menjamin kesejahteraan serta kebajikan rakyat ketika berhadapan dengan bencana.

“Pendirian menteri PN menolak cadangan pembubaran adalah penegasan semula terhadap keputusan Jemaah Menteri pada 21 September di mana cadangan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU- 15 telah dibincangkan dan Jemaah Menteri bersetuju untuk kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha pemulihan ekonomi negara serta meningkatkan usaha kesiapsiagaan menghadapi banjir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Azmin berkata, Ismail Sabri juga sedia maklum bahawa beberapa kerajaan negeri berpendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tahun ini. Pembubaran Parlimen dan DUN secara berasingan akan mengakibatkan kos pengurusan pilihan raya yang sangat tinggi.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 September lalu telah bersetuju bahawa proses pembubaran Parlimen perlu dibuat melalui konsultasi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum Perdana Menteri menyembah warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon perkenan untuk membubarkan Parlimen.

“Ismail Sabri sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa keputusan pembubaran Parlimen perlu dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri memandangkan Barisan Nasional (BN) bukan lagi gabungan yang membentuk kerajaan secara bersendirian.

“ Mengapa kini Ismail Sabri mempertikaikan pendirian menteri PN yang telah diputuskan secara bersama dalam Jemaah Menteri ? Pastinya, pendirian terbaru Ismail Sabri adalah di atas desakan Presiden UMNO,” katanya.

Menurutnya, tindakan Ismail Sabri menyalahkan menteri PN adalah bermotifkan politik yang terdesak untuk mengalih persepsi rakyat terhadap UMNO dan BN yang gagal merasai denyutan nadi rakyat.

“Saya yakin rakyat dapat menilai siapakah musuh sebenar rakyat.PN beriltizam untuk terus mengorak langkah menjana kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *