Peguam Najib dilarang ‘simpan’, tangguh soal balas saksi

MAHKAMAH Tinggi hari ini tidak akan membenarkan lagi peguam Datuk Seri Najib Razak ‘menyimpan’ dan menangguhkan untuk menyoal balas saksi pendakwaan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menegaskan jika selepas ini peguam Najib masih tidak bersedia untuk menyoal balas saksi, mahkamah akan menganggap saksi itu sudah disoal balas dan akan meneruskan dengan sesi pemeriksaan semula oleh pendakwaan.

Sequerah mengeluarkan arahan itu ketika prosiding hari ini selesai mendengar keterangan saksi ke-40 pendakwaan, iaitu Bekas Pengarah Urusan AmInvestment, Kok Tuck Cheong pada sesi pemeriksaan utama.

Apabila tiba giliran peguam bela menyoal balas saksi terbabit, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed bangun dan memaklumkan bahawa saksi itu akan disoal balas peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Bagaimanapun seperti dinyatakan pembelaan pada minggu lalu, peguam itu mengendalikan kes lain hari ini.

Katanya, beliau tidak bersedia untuk menyoal balas Tuck Cheong pada peringkat ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, perkara menangguhkan menyoal balas saksi menyebabkan pihaknya berdepan kesukaran dalam mengendalikan perbicaraan dengan lebih berkesan kerana pada masa sama tidak boleh memanggil saksi lain.

“Bukannya kami duduk saja dalam (perbicaraan ini) tanpa membuat apa-apa. Kami juga kena buat pelarasan.

“Esok saya ada perbicaraan di mahkamah lain, tetapi selepas ia berakhir, saya akan terus datang ke sini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Sequerah kemudian berkata bahawa mahkamah tidak akan membenarkan lagi saksi ‘disimpan’ dan soal balas ditangguhkan.

“Apa kita hendak buat sekarang sehingga tengah hari ini? Masa sejam dua ini terbuang begitu saja. Kamu (pembelaan) ada pasukan besar, dan Encik Wan kamu lebih daripada berkeupayaan untuk soal balas saksi kerana sudah biasa dengan fakta dalam kes ini.

“Perkara ini kamu kena ambil maklum. Saya tidak akan benarkan permintaan (tangguh soal balas saksi) lagi selepas ini,” katanya.

Wan Aizuddin kemudian berkata, beliau akan memaklumkan arahan Sequerah kepada Muhammad Shafee untuk tindakan selanjutnya.

Perbicaraan bersambung petang ini.

Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *