Muhammad Shamsuddin

Bajet 2023 adalah umpan PRU-15, sandiwara politik BN

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan Bajet 2023 sebagai umpan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Justeru Ketua Armada Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan mengingatkan pengundi supaya tidak tertipu dengan taktik licik UMNO dan BN itu.

Muhammad Shamsuddin berkata, Armada Johor menyifatkan bajet itu sebagai umpan kerana BN sedar pembubaran Parlimen dibantah sebahagian besar rakyat, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Mereka tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen yang akan memaksa PRU-15 diadakan dalam musim tengkujuh ini.

“Perkembangan mutakhir ini jelas mendedahkan kebobrokan pemimpin UMNO yang tidak peduli kepentingan rakyat apabila mempolitikkan Bajet 2023 dan mempertaruhkan keselamatan rakyat dengan tetap membubarkan Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen dalam satu perutusan khas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau mengadap baginda.

Beliau berkata, BN akan menjadikan bajet itu sebagai bahan kempen politik dan mengugut pengundi jika tidak memilih mereka pada PRU-15, bajet tersebut tidak akan dilaksana.

Rakyat katanya, perlu berfikiran matang dalam menilai perkara itu serta tidak mensia-siakan undi mereka.

Muhammad Shamsuddin, rakyat perlu menggunakan kuasa undi untuk memilih kerajaan yang berwibawa, berintegriti serta mendokong keprihatinan rakyat seperti diperjuangkan Perikatan Nasional (PN).

“Kami yakin BN akan gunakan Bajet 2023 sebagai modal kempen kerana Perdana Menteri secara terbuka telah meminta rakyat memberi kemenangan kepada BN pada PRU-15 supaya janji dalam Bajet 2023 yang dibentangkan di Parlimen, Jumaat lalu dapat dilaksanakan.

“Kami melihat kenyataan Perdana Menteri itu berbaur ‘ugutan, paksaan atau tekanan’ kepada pengundi supaya menyokong dan memenangkan calon BN atau sebaliknya rakyat tidak mendapat bantuan termasuk wang tunai jika BN tewas dalam PRU-15,” katanya.

Beliau tidak menafikan Bajet 2023 itu adalah bajet pilihan raya kerana merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara sedangkan kerajaan mempunyai komitmen yang besar dengan kemampuan yang terbatas.

Katanya, bajet itu sukar untuk diterjemahkan dan sekadar ‘sandiwara politik’ BN bagi mengaburi mata rakyat daripada mengetahui perbuatan dan niat mereka yang lebih utama iaitu membubarkan Parlimen bagi membuka laluan PRU-15 diadakan dalam tempoh 60 hari.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *