ISU pembahagian 27 kerusi kritikal Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara UMNO dan Pas selesai apabila Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan parti itu akan bertanding di semua kerusi berkenaan.

Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata tindakan itu diambil setelah Pas gagal memenuhi syarat yang ditetapkan untuk bekerjasama dalam menghadapi PRU-15.

Menurutnya tiga syarat yang ditetapkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetap sama, lapor Sinar yang memetik beliau sebagai berkata.

“Kami tidak mengubah syarat-syarat kami yang disebut oleh presiden parti kami.

“Jika Pas tidak mematuhi syarat itu, tawaran itu akan dibatalkan secara automatik.

“Kalau tidak ada kerjasama bermakna akan berlaku pertembungan (antara UMNO dan PAS ketika PRU-15),” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tinggi UMNO di Menara Dato’ Onn pada Isnin (10 Oktober).

Beliau menjawab soalan berhubung kerjasama kedua-dua parti dan 27 kerusi Parlimen seperti yang dikemukakan oleh Pas.

Pada 2 Oktober lalu, Zahid memberi kata dua dan meletakkan tiga syarat kepada Pas jika mahu meneruskan kerjasama.

Tiga syarat berkenaan ialah:

Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN); Memutuskan hubungan politik dengan Bersatu; dan
Mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Namun, syarat yang diletakkan itu dilihat bertentangan dengan matlamat utama Pas untuk menyatupadukan Melayu dan Islam atas dasar perpaduan ummah yang diperjuangkan selama ini.

Bagaimanapun, pada 8 Oktober lalu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan berpegang kepada pendiriannya untuk bekerjasama dengan semua parti berasaskan Melayu, termasuk UMNO dan Bersatu.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, juga sebelum ini dilaporkan berkata parti itu berharap masih ada ruang berunding dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan tiada pertembungan di 27 kerusi kritikal itu yang akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Khaled berkata UMNO juga akan memulakan proses pemilihan calon PRU-15, bermula hari ini.

Menurutnya,Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan mengemukakan senarai nama calon kepada pucuk pimpinan untuk dipilih dan dimuktamadkan.

“Kita (UMNO) kalau ikut biasa yakni jika ikut perlembagaan kita, ketua Umno negeri kena kemukakan kepada pucuk pimpinan. Esok (hari ini) kita mulakan proses,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here